December 29, 2015

Tiga beranak hanya mampu mengesot


Arif kelihatan ceria walaupun buta dan lumpuh, sambil ditemani Rosnani (kiri) dan Sapisah di rumah mereka di Kampung Lalang.

CHICHA TINGGI – Tiga beranak yang tinggal di Kampung Lalang di sini, hanya mampu mengesot akibat pelbagai masalah kesihatan dan dugaan yang terpaksa dihadapi mereka.

Seorang warga emas, Sapisah Che Long, 62, lumpuh akibat sakit lutut enam tahun lalu.

Menurutnya, anak perempuannya, Rosnani Razik, 44, tidak dapat berjalan akibat penyakit kencing manis manakala anak angkatnya, Mohd Arif Lutfi Samsudin, 10, lumpuh selepas dilanggar lari tujuh tahun lalu.

“Ini memaksa saya bergantung harap dengan suami yang mengambil upah menoreh getah selain bantuan daripada menantu di sini.

“Mujurlah Arif dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, bolehlah digunakan untuk membeli lampin pakai buang,” katanya.

Menurutnya, kejadian langgar lari ketika Arif berusia 4 tahun, bukan sahaja menyebabkannya lumpuh malah kanak-kanak itu turut buta penglihatan.

Katanya, masalah kesihatan yang dihadapi tiga beranak di rumah ini menyebabkan mereka tidak mempunyai kudrat menghantar dan mengambil Arif di sekolah.

“Walaupun keadaan fizikalnya tidak sempurna, namun saya percaya jika dia ke sekolah, pasti memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik.

“Saya sayu setiap kali memikirkan masa depan Arif sebab jika kami tiada nanti, apalah akan terjadi padanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian 29 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment