December 17, 2015

Satu hilang, lima melecur


Api marak membakar tiga kapal termasuk dua yang membawa muatan petrol di perairan Batu Sapi, Sandakan. - Foto Ihsan Bomba

Sandakan: Seorang awak-awak berusia 36 tahun masih hilang manakala lima melecur di muka dan tubuh dalam kebakaran dua kapal kayu berisi petrol serta kapal awam di perairan Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, dekat sini, petang semalam.

Ketua Penguat Kuasa APMM Sandakan, A Razak Abd Rahman, berkata kehilangan awak-awak itu diketahui sebaik api dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan penyelamat pada 8.30 malam tadi.

Menurutnya, ketiga-tiga kapal gagal diselamatkan dan tenggelam ke dasar laut.

"Ketika kebakaran itu, 11 awak-awak bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dengan lima daripadanya melecur di muka dan tubuh dirawat di Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan.

"Pemeriksaan lanjut, seorang lagi mangsa masih belum ditemui dan gerakan mencari giat dilakukan namun masih belum ditemui," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kapal kayu yang selesai memindahkan petrol di Jeti berhampiran untuk dibawa ke negara jiran terbakar ketika enjin dihidupkan.

myMetro 16 Dis 2015


Tiga kapal bawa petrol terbakar

Kepulan asap tebal dari kapal membawa petrol yang terbakar berhampiran Kampung Cenderamata, Sandakan, petang tadi. - Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN

Orang ramai berkumpul melihat kapal yang terbakar. - Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN

Sandakan: Tiga kapal kayu membawa muatan petrol musnah terbakar di perairan berhampiran Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua anak kapal terjun menyelamatkan diri sebaik kebakaran disedari.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, kebakaran membabitkan tiga kapal kayu membawa muatan petrol dipercayai ke negara jiran.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pada jam 3.01 petang, dua jentera bersama 10 anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

"Sehingga kini, operasi pemadaman api masih berjalan, termasuk menggunakan bot," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Difahamkan, Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan turut berada di lokasi kejadian bagi membantu memadam kebakaran.

myMetro 15 Dis 2015


5 melecur seorang hilang

APMM bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memadamkan kebakaran tiga kapal.

Sandakan: Kebakaran dua kapal kumpit dan sebuah kapal awam dipercayai akibat masalah enjin sehingga menyebabkan seorang hilang dan lima lagi cedera melecur dalam kejadian di perairan Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa hilang dikenali sebagai Susulan Abraham, 36, warga Filipina dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih digiat dijalankan manakala lima lelaki yang belum dikenal pasti identitinya kini dirawat di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), di sini, dan salah satu mangsa daripada lima yang melecur dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian kebakaran itu berpunca daripada kapal kumpit yang membawa petrol dari Sandakan.

“Mengikut maklumat awal, kapal yang terbakar itu memiliki dua enjin dan apabila enjin pertama dihidupkan ia berjaya dan sebaik enjin kedua cuba dihidupkan ia terus meletup.

“Akibat kejadian itu, lima mangsa mengalami cedera melecur dan seorang daripada mereka kritikal,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati kapal berkenaan dipercayai bertolak dari Sandakan ke Filipina.

“Pada malam selepas kejadian, syarikat berkaitan memberitahu semua pekerja dan individu yang terbabit dalam kejadian itu sudah ditemui.

“Bagaimanapun, pagi tadi (semalam), syarikat itu melaporkan seorang pekerja hilang dan mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira jam 6 petang tadi,” katanya.

Tambahnya, semua aspek akan diambil kira dalam menjalankan siasatan dan buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan semua dokumen yang berkaitan.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa APMM Sandakan A Razak Abd Rahman berkata, sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan penyelamat jam 8.34 malam semalam (kelmarin), ketiga-tiga kapal gagal diselamatkan dan bangkai kapal tenggelam ke dasar laut.

myMetro 17 Dis 2015


Mayat mangsa kapal terbakar ditemui

MAYAT mangsa dibawa ke jeti APMM Sandakan. FOTO ihsan APMM

Sandakan: Mayat seorang awak-awak yang dilaporkan hilang selepas kapal kayu dinaiki terbakar di perairan Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, di sini, semalam, ditemui kira-kira 14 kilometer dari tempat kejadian, petang tadi.

Mayat Susulan Abrahim, 36, ditemui oleh penduduk kampung berhampiran sebelum memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mengambil mayat mangsa, kira-kira 6 petang.

Jurucakap APMM Sandakan berkata, mayat mangsa dihantar ke Jeti APMM Sandakan untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, kapal kayu yang selesai memindahkan petrol di Jeti berhampiran untuk dibawa ke negara jiran terbakar ketika enjin dihidupkan.

Seramai 11 pekerja yang berada di atas kapal itu terjun untuk menyelamatkan diri dan susulan itu seorang dilaporkan hilang manakala lima lagi melecur.

myMetro 16 Dis 2015




0 comments:

Post a Comment