December 17, 2015

Kepala nenek nyaris digilis bas

MANGSA dibantu anggota polis dan orang ramai selepas terjatuh.

Georgetown: Jeritan orang ramai menyelamatkan nyawa wanita warga emas daripada maut apabila kepalanya nyaris digilis tayar bas di stesen bas Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang, wanita berusia 60-an terbabit pada mulanya turun bersama penumpang lain sejurus bas dinaiki tiba di stesen berkenaan.

Bagaimanapun, dia yang juga penumpang paling akhir turun secara tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terperosok di bawah bas.

Ketika itu pemandu bas terbabit tidak mengetahui mangsa di bawah bas dan dia terus memandu untuk ke destinasi seterusnya.

Orang ramai yang menyaksikan mangsa di bawah bas menjerit dan meluru ke arah pemandu sebelum dia memberhentikan kenderaannya.

Anggota polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian bersama orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang ketika itu kepalanya terlalu hampir dilenyek tayar belakang bas berkenaan.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 38, berkata, dia berada di stesen berkenaan kerana menunggu bas untuk ke Balik Pulau, dekat sini.

Menurutnya, dia mendengar orang ramai menjerit dan menerpa ke arah pemandu bas, namun tidak mengetahui apa yang berlaku.

“Saya sangkakan ada pergaduhan atau kes samun kerana anggota polis turut kelihatan di tempat kejadian, namun tidak lama kemudian baru saya tahu ada orang di bawah bas dan nyaris dilenyek.

“Nasib baik orang ramai sempat bertindak, jika tidak mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku,” katanya.

Difahamkan, ketika turun daripada bas itu, mangsa dikatakan mempunyai masalah kesihatan pening sebelum dia terjatuh dan kepalanya berada di bawah bas.

Akibat kejadian itu, kepala mangsa berdarah kerana terhentak di atas jalan dan dibawa untuk mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

myMetro 16 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment