December 9, 2015

Rebah sebelum masuk stadium

Mangsa meninggal dunia setelah rebah di pekarangan parkir Stadium Shah Alam kelmarin.

SHAH ALAM – Hasrat seorang warga emas untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dengan Pahang di Stadium Shah Alam di sini kelmarin tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat serangan jantung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Zainal Maudin, 60, tiba-tiba rebah di pekarangan parkir motosikal di stadium berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (gambar kecil) berkata, kejadian itu disedari beberapa penonton lain yang berada di kawasan berkenaan.

“Difahamkan, mangsa yang merupakan penyokong pasukan Selangor meninggal dunia sebelum masuk ke dalam stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

“Mangsa yang datang dari Hulu Selangor disahkan mati mengejut akibat serangan jantung dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, dalam perlawanan berkenaan, Selangor menang 2-0 ke atas Pahang sekali gus layak ke final Piala Malaysia 2015 menentang Kedah.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 12 Disember ini.

Kosmo 8 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment