December 30, 2015

Mayat Kapten Hasman ditemui

LEBUHRAYA di Missouri ditenggelami air selepas hujan lebat. (gambar kecil) Hasman Hussin. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Mayat Kapten Hasman Hussin yang dipercayai dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat sudah ditemui awal pagi tadi.

ABCNews melaporkan, mayat kelima tragedi banjir yang mengorbankan lima tentera antarabangsa dari Fort Leonard Wood ditemui petang Selasa (waktu tempatan).

Dilaporkan, Ketua Polis Daerah Pulaski, Ron Long berkata, mayat mangsa kelima ditemui kira-kira 9.6 kilometer dari lokasi kereta dihanyutkan arus deras.

Sementara itu, isteri mangsa, Siti Hazwani Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan dia juga sudah dimaklumkan oleh pihak tentera kira-kira 6.45 pagi tadi.

Katanya, bapa dan abang mangsa akan dibawa ke Missouri untuk urusan pengecaman dan bawa pulang mayat ke tanah air dalam masa terdekat.

myMetro 30 Disember 2015


Askar Malaysia hilang, dikhuatiri lemas di AS

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang sedang menuntut di Fort Leonardwood, Missouri, Washington, Amerika Syarikat disyaki hilang apabila kereta yang dinaiki bersama rakan-rakannya dihanyutkan oleh air banjir.

Dalam kejadian yang berlaku pada 26 Disember lalu, mangsa bersama empat rakan kolejnya dikatakan cuba meredah laluan yang dipenuhi air banjir dengan menggunakan sebuah kenderaan.

Memetik laporan sebuah portal kententeraan www.armytimes.com, kenderaan mereka dikatakan dihanyutkan oleh arus banjir.

"Keempat-empat mayat rakan mangsa dilaporkan telah dijumpai.

"Bagaimanapun mangsa tidak ditemui setakat ini," katanya.

Difahamkan, mangsa yang telah mendirikan rumah tangga mempunyai seorang anak dan bakal menamatkan pengajiannya pada April depan.

Sinar Harian 29 Dis 2015



Kapten dihanyut banjir di Missouri

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera yang sedang menjalani kursus dilaporkan hilang selepas kenderaan yang dinaikinya bersama empat rakan dari negara lain dihanyutkan banjir deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS) pada 26 Disember lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi ketika mangsa, Kapten Hasman Hussin bersama empat rakannya menaiki sebuah kende­raan untuk bercuti.

Malangnya, kende­raan mereka dihanyutkan arus deras ketika mengharungi sebatang jalan yang dinaiki air akibat hujan lebat di Pulaski County.

Mayat empat rakan mangsa kemudian berjaya ditemui pasukan penyelamat manakala mangsa disahkan hilang.

Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenya­taan memberitahu, Hasman yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja berada di negara itu untuk menjalani kursus kejuruteraan di Fort Leonard Wood, Missouri.

Menurut kenyataan itu, Timbalan Ketua Perwakilan di Malawakil Was­hington DC, Saiful Annuar mendapat maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 11.45 pagi waktu tempatan dari wakil Jabatan Negara AS yang memaklumkan pegawai itu hilang.

Kosmo 30 Dis 2015


Suami pesan supaya jangan tinggal solat

MASJID TANAH - Isteri kepada Kapten Hasman Hussin, 34, yang menuntut di Fort Leonardwood Missouri, Amerika Syarikat, Siti Hazwani Ahmad, 29, berkata, sehingga sekarang masih tergiang-giang pesanan suaminya agar tidak meninggalkan solat.

Siti Hazwani yang juga Pegawai Pertanian Tampin berkata, pesanan itu diucapkan suaminya yang menghubunginya pada 26 Disember lalu sebelum mangsa dilaporkan hilang di Amerika Syarikat.

Menurutnya, sebelum itu suaminya sempat berbual seperti biasa bersama anak sulung mereka Muhammad Aqil Tahfiz yang berusia 3 tahun.

"Suami sempat berborak-borak dengan anak sebelum bercakap dengan saya dan berpesan jangan tinggal solat.

"Suami juga beritahu ketika itu dia sedang bercuti sehingga 3 Januari depan dan tidak merancang untuk ke mana-mana," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Siti Hazwani, namun dia terkejut apabila dimaklumkan insiden yang menimpa mangsa sedangkan sebelum ini suaminya menyatakan mahu menghabiskan cuti dengan belajar di dalam bilik.

"Saya tetap mengharapkan suami saya dapat ditemui selamat dan biarpun dalam keadaan apa sekali pun saya akan terima," katanya.

Sinar Harian 29 Dis 2015


Moga kau tenang di sana suamiku...

SHAH ALAM - "Ya ALLAH, mengapa terlalu cepat Kau ambil dia dan tinggalkan aku sendirian, sayang al-Fatihah buat suamiku," demikian coretan isteri kepada Allahyarham Pegawai Tentera Darat, Siti Hazwani Ahmad yang disahkan meninggal dunia pada Isnin.

Nukilan sedih di laman media sosial itu ditulis Siti Hazwani selepas suaminya, Allahyarham Hasman Hussin yang pada awalnya dilaporkan hilang dihanyutkan banjir di Amerika Syarikat (AS) ditemui meninggal dunia oleh Peronda Lebuhraya Missouri State.

Ungkapan reda dengan ujian ALLAH turut dicatat Siti Hazwani dan memohon doa daripada teman-teman untuk disedekahkan kepada  Allahyarham suami tercinta.

"Bacakan al-Fatihah kawan-kawan, untuk pemilik bernama Hasman Hussin, moga dia tenang di sana," tulisnya.

Coretan Siti Hazwani itu mengundang ucapan takziah dan sokongan kepada ibu tiga cahaya mata ini.

"Semoga tabah puan, al-Fatihah," tulis Anizan Ali.

AdleesyaBeauty HQ turut mendoakan agar Siti Hazwani terus tabah mengharungi liku-liku kehidupan.

"Innalillahhiwainnailaihirajiuun.Semoga tabah mengharungi dugaan ini, Takziah buat keluarga, Wani kena kuat untuk anak," tulisnya.

Fauziah Ibrahim pula mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Hasman Hussin disahkan meninggal dunia menerusi kenyataan daripada Tentera Darat (TD)  setelah pihak TD  menerima maklumat terkini daripada Penolong Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Washington DC.

Dalam satu kenyatan yang dikeluarkan Markas Tentera Darat hari ini, Pegawai Perhubungan Awam Kolej Charlie Rodges memaklumkan jenazah telah dijumpai pada 28 Disember 2015, jam 11.00 pagi waktu tempatan di lokasi kejadian yang belum dikenal pasti.

"Jenazah telah dibawa ke rumah mayat Hospital Fort Leonanrd Wood. Keluarga arwah telah dimaklumkan tentang penemuan ini oleh pegawai kanan Tentera Darat di rumah Allahyarham di Felda Palong, Negeri Sembilan dan di Masjid Tanah Melaka.

"Pihak TD sedang berusaha menguruskan pergerakan waris terdekat mangsa ke AS bagi tujuan proses pengecaman dan pengesahan jenazah, urusan membawa balik jenazah sedang diusahakan secepat mungkin dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di AS dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur," katanya kenyataan itu.

Sinar Harian 30 Disember 2015


Keluarga Hasman tidak berangkat ke AS bagi proses pengecaman

JEMPOL - Keluarga Kapten Hasman Hussin, 33, tidak berangkat ke Missouri, Amerika Syarikat (AS) bagi proses pengecaman sebaliknya menunggu jenazah dibawa pulang ke Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan oleh isteri mangsa, Hazwani Ahmad, 29, selepas mengambil kira keadaannya yang masih dalam tempoh berpantang malah dia turut menyusukan anak kembar berusia tiga bulan.

Dia dihubungi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pukul 8 pagi yang memaklumkan jenazah suaminya telah ditemui.

Katanya, jenazah dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat ini.

Markas Tentera Darat Wisma Pertahanan hari ini mengesahkan mayat Hasman, pegawai Tentera Darat yang dilaporkan hilang pada Sabtu lalu selepas dipercayai dihanyutkan banjir di Pulaski County, Missouri, AS, dijumpai pada pukul 11 pagi Isnin lalu, waktu tempatan. - K! ONLINE

30 Dis 2015


Isteri reda, Hasman sempat Skype sebelum kejadian

JEMPOL - Isteri, kepada Kapten Hasman Hussin yang ditemui lemas dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS), Siti Hazwani Ahmad, 29, reda pemergian suaminya dalam kejadian berkenaan.

Siti Hazwani yang juga pegawai pertanian Tampin berkata, dia perlu tenang dengan kejadian ini.

"Saya reda atas pemergiannya dan hanya tunggu jenazahnya tiba di Malaysia. Lagipun saya masih menyusukan anak kembar yang berusia tiga bulan dan perlu menempuh perjalanan yang jauh.

"Saya dihubungi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan penemuan jenazah suami kira-kira jam 8 pagi tadi dan meminta menyediakan pasport untuk dibawa ke AS, tetapi saya tidak dapat pergi.

"Kami sekeluarga sudah berbincang dan sepakat membenarkan ATM menguruskan perjalanan pulang jenazah ke Malaysia. Jenazah dijangka tiba ke Malaysia pada Jumaat ini," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Palong 13 di sini, hari ini.

Hasman merupakan pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) sedang mengikuti kursus Engineer Captains Career Courses di Fort Leonard Wood, Missouri, Amerika Syarikat mulai 1 Oktober hingga 15 April 2016.

Ketika kejadian, Hasman bersama empat rakan lain menaiki kereta dan dihanyutkan arus deras di Missouri, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Siti Hazwani berkata, dia dapat bersemuka dengan suaminya sehari sebelum kejadian menerusi panggilan video menggunakan aplikasi Skype.

Sementara itu, bapa mangsa, Hussin Mat, 60, berkata, jenazah anaknya itu akan lebih cepat dibawa pulang sekiranya mereka tidak pergi ke AS.

"Saya lebih bersedia menunggu jenazah di sini kerana kalau pergi ke sana mengambil masa lama," katanya.

Sementara itu, arwah meninggalkan balu dan tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Aqil Tahfisz, 3, pasangan kembar, Muhammad Aqil Solehan dan Muhammad Aqil Solehin, 4, bulan.

Dalam pada tu, difahamkan, arwah dijangka dikebumikan di kampung halaman di kampung Durian Daun Masjid Tanah, Melaka.

Sinar Harian 30 Dis 2015


'Papa nak kena tanam'

Jempol: “Cepatlah selamatkan papa, papa nak kena tanam (dikebumikan).” Itu kata Muhammad Aqil Tahfiz, 3, sambil menangis apabila ditanya mengenai bapanya, Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia dalam kejadian banjir di Pulaski County, Missouri, Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu.

Hasman, 33, pegawai di Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) itu dilaporkan lemas selepas kenderaan dinaiki bersama empat tentera pelbagai negara dihanyutkan arus deras sebelum jenazah ditemui beberapa meter dari lokasi kejadian, awal pagi kelmarin.

Isteri arwah, Siti Hazwani Ahmad, 29, berkata, anak sulungnya itu kerap bertanya mengenai bapanya tidak menghubungi mereka seperti biasa.

“Malam tadi (kelmarin) berkali-kali Muhammad Aqil bertanya kenapa papa tidak menghubunginya lagi. Dia hairan kerana arwah setiap malam akan menelefon saya dan bercakap dengannya,” katanya.

“Saya hanya menghitung hari menunggu ketibaan jenazah ke tanah air. Saya dimaklumkan proses bedah siasat sedang dijalankan oleh pihak AS dan ia berjalan lancar.

“Saya bersama tiga anak dan keluarga akan bertolak ke rumah mentua sejurus jenazah tiba. Jenazah akan terus di bawa ke sana bagi mempercepatkan urusan pengebumian pada Ahad ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan jenazah dijangka tiba esok, namun waktu ketibaan tidak dapat dipastikan dan selepas itu akan terus dibawa ke Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka.

myMetro 1 Jan 2016


Jenazah Kapten Hasman tiba pagi tadi

KUALA LUMPUR - Jenazah Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam banjir di Missouri, Amerika Syarikat, selamat tiba di New York dari Missouri jam 5.30 pagi tadi waktu Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia kepada Bernama hari ini.

Kosmo 3 Jan 2016


Isteri enggan biar air mata sambut arwah

ANTARA gambar kenangan arwah.

Seremban: “Walaupun suami sudah tiada, saya perlu meneruskan kelangsungan hidup demi anak. Saya akan mendidik mereka sebaik mungkin seperti kehendak arwah,” kata Siti Hazwani Ahmad, balu kepada Kapten Hasman Hussin, 34, yang lemas di Missouri, Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Hazwani, 29, berkata, dia dimaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa jenazah suaminya akan dibawa pulang dari Amerika Syarikat (AS), esok.

Katanya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jenazah dikebumikan di kampung mentuanya di Masjid Tanah, Melaka, dekat sini.

“Saya perlu kuat dan cekal menyambut ketibaan jenazah. Saya tidak mahu air mata mengiringi kehadirannya nanti. Apa-apapun, saya perlu reda dan tabah,” katanya di rumah keluarganya di FELDA Palong 13, Jempol, dekat sini, semalam.

Menurutnya, biarpun kematian suami sukar diterima, dia bertekad mahu meneruskan hidup demi masa depan tiga anak mereka yang masih kecil.

Katanya, dia akan berusaha mengatasi kesedihan bagi memastikan hidupnya dan anak tidak terabai.

“Pada hari pertama menerima berita kematian, saya akui sangat sedih dan tertekan hingga tidak mampu memberi perhatian kepada anak.

“Tetapi apabila difikirkan semula, sampai bila harus begini sedangkan anak masih memiliki masa depan,” katanya.

Menurutnya, paling menyedihkan apabila anak sulungnya, Muhammad Aqil Tahfiz, 3, paling rapat dengan arwah dan sentiasa bertanyakan mengenai bapanya.

“Muhammad Aqil selalu bertanya bila bapanya akan bangun semula. Saya tak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan itu,” katanya.

Hazwani berkata, bagi urusan menyambut jenazah, pihak ATM akan membawa keluarganya dan mentua ke KLIA menggunakan dua van.

“Saya mewakili keluarga dan mentua menzahirkan penghargaan terhadap ATM yang banyak membantu urusan membawa pulang jenazah,” katanya.

myMetro 4 Jan 2016





0 comments:

Post a Comment