December 30, 2015

Tiga maut, dua cedera dalam nahas di Bachok

BACHOK – Tiga lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Tok Burong dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Ahmad Isyraf Hazim Ismail, 5, bersama sepupunya, Mohd. Syahir Rajani, 14, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Seorang lagi pembonceng motosikal berkenaan, Syahwi Zarfan Sairi, 7, turut cedera parah.

Penunggang motosikal jenis Yamaha 125z yang turut terbabit dalam kejadian itu, Nik Hanzallah Nik Hassan, 19, turut maut manakala pemboncengnya, Lukman Hakim Abu Manaf, 18, dilaporkan cedera parah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 125z yang ditunggang Nik Hanzallah dari arah Perupok menghala ke Bachok cuba memotong kenderaan ketika melalui jalan berkenaan.

Katanya, motosikal itu kemudian telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang ditunggang Mohd. Syahir yang datang dari arah bertentangan.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pembonceng yang cedera parah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 31 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment