December 16, 2015

Lenyap ditarik ombak

Nurul Wazieyana yang dikhuatiri lemas Sabtu lalu belum ditemui sehingga hari ini. FOTO ihsan bomba

Santubong: Kegembiraan enam sekawan berkelah di pantai Pasir Pandak, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak, jam 6.40 petang kelmarin.

Nurul Wazieyana Mohd Yusof, 23, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak setahun lalu berasal dari Tangkak, Johor terjatuh ketika berjalan di pantai sebelum dihanyutkan ombak.

Ketika kejadian mangsa berjalan di pantai bersama rakan dengan keadaan air separas betis dan pada masa sama, air laut mula pasang diikuti ombak kuat.

Sebelum kejadian, mangsa yang bertugas pada syif pagi mengajak beberapa rakan berkelah di pantai berkenaan sebaik tamat waktu kerja.

Rakan, Munirah Zainal Abidin, 23, berkata, sebaik Nurul Wazieyana terjatuh, rakan yang berjalan bersama mangsa cuba membantunya bangun, namun gagal.

“Kejadian berlaku pantas dan Nurul Wazieyana terus dihanyutkan ombak. Kami tidak sempat berbuat apa-apa sebelum dia hilang ditelan ombak.

“Kami menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.52 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan sehingga jam 11 malam semalam (kelmarin) sebelum disambung semula jam 6 pagi tadi (semalam).

“Sehingga jam 4 petang, mangsa masih belum ditemui dan kawasan pencarian ditumpukan di kawasan anak sungai berhampiran lokasi kejadian.

“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut ditempatkan di lokasi kejadian dan bersedia untuk melakukan penyelaman sekiranya perlu,” katanya.

myMetro 14 Disember 2015


Kesan gigitan pada pakaian

Santubong: Kehilangan seorang jururawat wanita yang dikhuatiri lemas di Pantai Pasir Pandak di sini, Sabtu lalu terus menjadi misteri apabila pakaian dalam dipercayai milik mangsa ditemui berdekatan pantai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, pasukan penyelamat menemui pakaian dalam wanita di lokasi sama dengan penemuan pakaian dan tudung dipakai mangsa, Nurul Wazieyana Mohd Yusof, 23 sewaktu hari kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Earnest John berkata, pemeriksaan terhadap pakaian ditemui kelmarin dan semalam mendapati ada kesan seakan-akan gigitan buaya.

Bagaimanapun, menurutnya, pengesahan lanjut mengenai kesan gigitan pada pakaian itu masih diperlukan.

“Sejurus kejadian pada Sabtu lalu, rakan mangsa membuat laporan di Balai Polis Santubong mengenai kehilangan mangsa. Dalam keterangan rakan mangsa, dia tidak pasti sama ada mangsa ditarik ombak atau buaya kerana keadaan ketika itu Maghrib dan gelap.

myMetro 16 Disember 2015


Petunjuk baru kehilangan jururawat

Santubong: Organ dalaman menyerupai paru-paru manusia dipercayai milik jururawat, Nurul Wazieyana Mohd Yusof, 23, yang dikhuatiri lemas di Pantai Pasir Pandak, di sini, Sabtu lalu, ditemui pagi tadi.

Difahamkan, organ dalaman itu ditemui di celah-celah batu kira-kira lima hingga tujuh kilometer dari lokasi mangsa hilang oleh sepasukan anggota mencari dan menyelamat (SAR), pada 10 pagi.

Komander Operasi Muhammad Mirza Dzalmmira Miraz berkata, selang dua jam operasi SAR dijalankan, pihaknya bersama pasukan penyelamat lain menemui serpihan organ dalaman menyerupai paru-paru manusia di celah batu di pantai berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya belum dapat memastikan sama ada organ dalaman itu milik manusia atau haiwan.

"Semuanya masih dalam siasatan dan kita sudah hantar organ berkenaan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk ujian forensik,"katanya.

Sehingga jam 5 petang semalam, operasi SAR masih gagal mengesan jururawat yang bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS) itu.

Operasi berkenaan dilakukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

myMetro 18 Disember 2015


Kehilangan Nurul Wazieyana masih menjadi misteri

KUCHING: Kehilangan Nurul Wazieyana Mohd Yusof yang dilaporkan dihanyutkan arus di Pantai Pasir Pandak sejak 13 hari lalu masih menjadi satu misteri.

Sehingga semalam, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak masih gagal menemui sebarang petunjuk mengenai misteri kehilangan jururawat Hospital Umum Sarawak (HUS) ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii ketika dihubungi berkata atas permintaan keluarga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah dihentikan Ahad lepas dilancarkan semula semalam.

Namun katanya, selepas perbincangan bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain yang terlibat operasi SAR ini ditamatkan pada jam 5 petang semalam.

“Operasi hari ini tertumpu di kawasan tepi pantai dan lumpur bagi mengesan objek yang boleh dikaitkan dengan kehilangan mangsa.

“Namun selepas pencarian sepanjang jarak dua kilometer (km), kami masih gagal menemui sebarang petunjuk termasuk yang boleh dikaitkan dengan kehilangan ini,” katanya.

Meskipun operasi SAR dihentikan petang semalam, namun pihaknya menurut Tiong bersedia melancarkan operasi semula jika menerima petunjuk baharu.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi berkenaan.

Semangat sebagai penyelamat dan harapan daripada keluarga mangsa telah menjadi pendorong kepada anggota untuk mencari dan menyelamat mangsa tanpa mengenal erti susah.

Utusan 25 Dis 2015


Runtun hati si ayah

MOHD Yusuf (kiri) ditenangkan anggota pasukan keselamatan selepas operasi SAR untuk mencari anaknya Nurul Wazieyana yang hilang sejak 13 hari lalu di Pasir Pandak ditamatkan.

Santubong: Selepas 13 hari hilang, seorang bapa terpaksa menerima hakikat bahawa jasad anaknya tidak akan dapat ditemui sampai bila-bila.

Itulah keperitan yang terpaksa dilalui pesara tentera, Mohd Yusuf Othman, 56, apabila jasad anak kesayangannya, Nurul Wazieyana, 23, gagal ditemui sehingga hari terakhir operasi di Pantai Pasir Pandak, di sini, ditangguhkan, selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui sebarang petunjuk baru.

“Hanya Allah yang tahu. Sebagai ayah saya inginkan tanda, biarlah secebis daging, atau apa saja, asal dapat kami ingati pemergiannya,” kata Mohd Yusuf ketika ditemui media.

Hampir dua minggu menaruh harapan, Yusuf menyusuri pantai itu setiap pagi dan petang dengan harapan menemui petunjuk mengenai anaknya itu, malah pagi semalam, dia turut bersama-sama lebih 55 anggota SAR menjalankan misi berkenaan.

“Saya harus nampak kuat di hadapan keluarga, namun hati saya meruntun apabila keseorangan di pantai. Itu perlu saya sembunyikan,” katanya lagi.

Yusuf berkata, biarpun masih berharap, dia dan keluarganya terpaksa menerima hakikat bahawa pusara Nurul Wazieyana adalah di pantai berkenaan.

myMetro 25 Disember 2015







0 comments:

Post a Comment