December 15, 2015

Padah ugut cederakan ibu

KUALA TERENGGANU - Perbuatan biadab seorang anak yang tergamak mengugut mahu mencederakan ibunya dengan sebatang besi kuku kambing menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Raja Muhammad Faiz Raja Salim, 23, dari Kampung Batu Hampar, Jalan Telemong, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Maimunah Yunus, 64.

Dia mengaku salah melakukan ugutan berkenaan dengan menggunakan sebatang besi kuku kambing di kediaman mereka di Kampung Batu Hampar, Jalan Telemong, pada 10 Disember lalu, jam di antara 5.45 pagi hingga 6 pagi.

Dengan itu, Raja Muhammad Faiz mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Berdasarkan fakta kes, pada 10 Disember lalu, kira-kira jam 5 pagi, mangsa tersedar dari tidurnya selepas terdengar bunyi bising di ruang tamu rumah.

Ketika itu, mangsa nampak anaknya, Raja Muhammad Faiz sedang mengamuk dengan memecahkan barang-barang yang ada di dalam rumah menggunakan sebatang besi panjang lebih kurang dua kaki iaitu besi kuku kambing.

Mangsa cuba menenangkan anaknya tetapi tindakan itu telah menyebabkan dia semakin marah sebelum bertindak mengugut dengan mengatakan “adakah kamu (mangsa) mahu kena” sambil memegang besi itu.

Selepas mengugut mangsa, tertuduh terus memecahkan barang-barang yang ada di dalam rumah sehingga puas sebelum keluar dari rumah tersebut.

Susulan kejadian, mangsa yang bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Manir, sebelum Raja Muhammad Faiz ditangkap di rumahnya, kira-kira jam 12.45 tengah hari, hari kejadian.

Sinar Harian 14 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment