December 23, 2015

Lelaki direman kes 6 kereta terbakar

Lelaki yang direman (kanan) empat hari kejadian enam kereta musnah dalam kebakaran berhampiran Stesen LRT Taman Jaya, semalam. FOTO Kalidevi Mogan Kumarappa dan ihsan pembaca

Petaling Jaya : Lelaki berusia 27 tahun direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian enam kereta musnah dalam kebakaran berhampiran Stesen LRT Taman Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya mendapatkan perintah reman itu pagi tadi bagi membolehkan polis menyiasat kejadian kebakaran kereta dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Kejadian berkenaan turut viral di laman sosial sehingga muncul maklumat palsu kononnya kejadian berkenaan berpunca daripada letupan bom.

Harian Metro hari melaporkan, kejadian itu berpunca daripada tindakan seorang lelaki menyimbah petrol dan membakar kereta rakan isterinya kerana cemburu.

Difahamkan, suami isteri itu dalam proses bercerai.

myMetro 22 Disember 2015


Enam kereta terbakar

ANTARA kereta yang terbakar. FOTO Nik Hariff Hassan

Petaling Jaya : Enam kereta musnah terbakar dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta Stesen LRT Taman Jaya, Petaling Jaya kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.58 tengah hari tadi sebelum sepasukan angggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala tiba di lokasi kejadian pada 1.09 petang tadi.

Katanya, kejadian itu membabitkan enam kereta iaitu Toyota Vios dan Proton Wira yang musnah sepenuhnya, Suzuki Swift terbakar 80 peratus, Proton BLM musnah 70 peratus serta Proton Gen 2 dan Honda musnah 20 peratus.

"Pemilik kereta itu dipercayai meletakkan kereta di kawasan berkenaan sebelum menaiki LRT ke tempat kerja masing-masing.

"Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 13.32 petang tadi dan tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ini," katanya.

myMetro 21 Disember 2015


Didakwa bakar enam kereta

Petaling Jaya: Penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan khianat menggunakan api petrol dan menyebabkan kebakaran enam kereta membabitkan kerugian hampir RM450,000 berhampiran Stesen LRT Taman Jaya, Isnin lalu.

Tertuduh, Budiman Shah Baharudin, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Manira Mohd Noor sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan bahan api petrol dalam botol mineral dan membalingnya ke arah PROTON Wira selain menyebabkan lima lagi kenderaan lain turut musnah dalam kebakaran itu, 12.50 tengah hari hingga 1.15 petang, pada 21 Disember lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Januari ini sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, akibat cemburu bekas isteri keluar bersama kekasih baharu, seorang lelaki bertindak membaling molotov koktail ke arah mereka yang berada di dalam Wira.

Selain kereta mangsa, turut musnah dalam kebakaran itu ialah lima kereta berdekatan, iaitu jenis Toyota Vios, Suzuki Swift, PROTON BML, PROTON Gen2 dan Honda City.

myMetro 28 Disember 2015




0 comments:

Post a Comment