December 31, 2015

Kereta terbabas air melimpah ke jalan


Keadaan kereta yang terbabas di Batu 13 Jalan Mersing berhampiran jambatan Sungai Dohol pagi semalam.

KOTA TINGGI – Hujan lebat sejak malam hingga pagi semalam telah menyebabkan laluan di Batu 13 Jalan Mersing berhampiran jambatan Sungai Dohol dinaiki air.

Keadaan itu juga menyebabkan sebuah kenderaan terbabas akibat hilang kawalan ekoran air yang melimpah ke kawasan jalan tersebut.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.40 pagi daripada pemandu kenderaan terbabit.

Menurutnya, lapan anggota bomba bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kita difahamkan kawasan terbabit mempunyai parit kecil selain faktor jalan raya yang rendah di laluan itu menyebabkan ia menjadi tumpuan takungan air.

“Ketinggian air yang melimpah ke jalan raya kira-kira paras buku lali namun arus yang melintas jalan agak kuat. Apabila aliran air hujan tidak lepas maka air terbabit melimpah ke jalan raya,” katanya.

Tambahnya, pemandu itu, bagaimanapun, tidak cedera dan tinjauan pihaknya juga mendapati jalan tersebut sahaja yang dinaiki air dan mulai surut tidak lama kemudian.

"Orang ramai diminta lebih berhati-hati memandu dan kurangkan kelajuan kenderaan pada musim tengkujuh ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Faktor cuaca dan jalan raya yang tidak rata dikhuatiri menyebabkan berlakunya kemalangan,” katanya.

Sinar Harian 30 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment