December 31, 2015

Bekas pemain Johor kini terlantar

Zarina memberi Yussalman minum di rumahnya di Felda Palong Timur 1.

SEGAMAT – Bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili Johor dalam saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia tahun 2000 kini terlantar akibat lumpuh dari paras bahu ke bawah selepas kemalangan.

Bekas pemain pertahanan Johor, Mohd Yussalman Jusoh, 36, berkata, dalam kejadian 29 September 2011 kira-kira jam 11 malam itu, motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Ketika kejadian, saya nak pulang ke rumah lepas balik kerja di sebuah pasar raya. Saya tak sedar selepas kena langgar dan hanya dijumpai anggota JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dalam longkang pada keesokan pagi.

“Saya kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah. Saya koma selama 14 hari sebelum disahkan doktor saraf tunjang saya telah rosak dan pundi kencing pecah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia kemudian terpaksa ditahan di dalam wad selama 44 hari sebelum dibawa pulang oleh isterinya, Norliana Razali, 32, ke kampung mertuanya di Felda Palong Timur 1, di sini.

Tambah menyedihkan, Norliana ketika itu sarat mengandung anak bongsu mereka, Mohd Zidane Mikail, 5, selain terpaksa mengharapkan ihsan ibu bapa mertuanya, iaitu Razali Daud, 57, dan Zarina Hassan, 52, untuk menjaga dua lagi anak mereka.

“Saya kini tidak boleh bekerja dan hanya mengharapkan bantuan bulanan RM700 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) selain RM300 daripada Baitulmal. Penjaga saya terima RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya juga perlu jalani rawatan susulan setiap dua minggu di Hospital Daerah Segamat dan sebulan sekali di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka. Mujur isteri saya boleh memandu,” katanya.

Menurutnya, sejak kemalangan itu juga, dia turut terputus hubungan dengan rakan-rakan sepasukan seperti Otman Katmon, Rizal Zamri Yahya dan Sani Fahmi.

Dia sedih mengenangkan nasib dirinya.

Katanya, dia juga menyimpan hasrat untuk bertemu secara dekat dengan ketua pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Safiq Rahim, yang disifatkannya sebagai pemain licik malah memiliki kepimpinan tinggi ketika beraksi di padang.

“Walaupun saya terpaksa minta bantuan isteri uruskan diri, saya sentiasa ikuti perkembangan pasukan JDT malah tidak pernah terlepas saksikan siaran langsung di televisyen.

“Saya juga rindu saat-saat bermain bola di padang dan kali terakhir saya wakili Johor pada 2000 dengan memakai jersi nombor 25 di bawah kendalian jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia juga pernah mewakili Johor ketika Piala Menteri Besar pada tahun 1995, Piala Razak (1996-1997), Piala Presiden (1998-1999), Piala Presiden Johor (2000) dan mewakili Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pasir Gudang (2001).

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Yussalman boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 151306742493 miliknya atau menghubunginya melalui talian 012-7674047.

 Sinar Harian 30 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment