December 17, 2015

Kancil datang 'makan' burger

GERAI burger selepas dirempuh kereta hilang kawalan.

Kota Bharu: “Saya sedang masak burger untuk pelanggan sebelum terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat dan nampak kereta Perodua Kancil itu meluncur laju ke gerai saya.

“Ia seperti hilang kawalan, melambung dan merempuh gerai menyebabkan kami semua lari bertempiaran,” kata peniaga burger Mohd Zahid Sidek, 33, menceritakan kejadian Perodua Kancil dikatakan hilang kawalan sebelum terbalik dan merempuh gerai burgernya serta Perodua Viva di bahagian kiri Jalan Pengkalan Chepa berhadapan Sekolah Ma’ahad Muhammadi Lelaki, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 8.45 malam itu menyebabkan tiga cedera termasuk pemandu dan penumpang Perodua Kancil serta kanak-kanak dua tahun yang berada dalam Perodua Viva.

Menurut Mohd Zahid, ketika kejadian, pelanggan menunggu dia memasak burger termasuk kanak-kanak dua tahun yang menaiki Perodua Viva bersama bapanya.

“Ketika itu tiada apa-apa pun yang berlaku sehingga muncul Perodua Kancil terbabit yang menghala ke Pengkalan Chepa.

“Dalam sekelip mata saja, kereta itu merempuh gerai saya dan Perodua Viva di tepi jalan. Semua orang di situ lari termasuk saya sehingga tergelincir ke dalam longkang.

“Saya hanya sakit kaki sedikit saja, namun kanak-kanak dalam Perodua Viva itu cedera terkena kaca cermin kereta.

“Pemandu lelaki dan penumpang perempuan berusia lingkungan 20-an di dalam Perodua Kancil itu cedera,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Menurutnya, orang ramai membantu mengeluarkan pasangan terbabit yang tersepit dalam kereta mereka serta menghubungi ambulans.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, untuk rawatan.

Saksi Mohd Hanif Asri Anuar,19, berkata, dia menunggang motosikal ke Kota Bharu ketika kejadian itu berlaku.

Katanya, dia terdengar bunyi dentuman dan segera memberhentikan motosikal untuk melihat kejadian serta membantu mangsa.

“Saya melihat kereta itu melambung, terbalik dan melanggar gerai,” katanya.

myMetro 12 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment