December 17, 2015

Dua beranak ditelan ombak

PASUKAN penyelamat mengangkat jenazah Mariam untuk dibawa ke hospital.

Marang: Kegembiraan lima sekeluarga mencari remis di Kampung Pulau Kerengga, di sini, semalam, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas dihanyutkan ombak.

Dalam kejadian jam 10 pagi, seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mariam Jusoh, 41, dan anak bongsunya, Mohamad Arshad Mohd Bazi, 9, meninggal dunia selepas lemas.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Suhaimi Mohd Ali berkata, polis menerima panggilan jam 10.35 pagi memaklumkan terdapat kejadian lemas membabitkan dua mangsa di pantai berkenaan.

Menurutnya, mayat Mariam ditemui jam 11.30 pagi oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari 30 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Katanya, mangsa, Mohamad Arshad ditemui jam 1.50 tengah hari dalam jarak 100 meter dari lokasi mayat ibunya.

“Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Shokry Mohamed dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang berkata, pihaknya yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, pihaknya bersama pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dengan kekuatan 12 anggota menemui mayat mangsa pertama yang berada dalam keadaan terapung.

“Mayat mangsa kedua pula ditemui tidak jauh dari lokasi itu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

myMetro 12 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment