December 9, 2015

'Diduga kocek tinggal 10 sen'

SALMIAH (kiri) dan Zulhasnimar (kanan) membantu anak masing-masing membaca di Pusat Dalam Komuniti, Jalan Gombak Setia.

Kuala Lumpur: “Walaupun dikurniakan anak cacat, saya tidak pernah menyalahkan takdir, malah ia memberi kekuatan dan semangat mengharungi hidup kerana saya pernah diduga dengan hanya mempunyai 10 sen untuk bekalan kami dua beranak,” kata ibu tunggal Salmiah Sharif, 40.

Menurutnya, sejak berpisah dengan bekas suami 16 tahun lalu, dia nekad membesarkan Norsyafiqah Izzati Mohd Shahril, 17, yang mengidap penyakit Truncus Arteriosus atau kecacatan jantung kongenital.

“Cukuplah perceraian menjadi titik hitam, tetapi kehadiran Syafiqah walaupun cacat sejak berusia dua hari, dialah madu dan penawar keperitan hidup.

“Saya yakin dengan hikmah dijanjikan Allah, sebab itu saya dipilih membesarkan ‘anak syurga’ ini,” katanya.

Salmiah berkata, kehidupan sebagai ibu tunggal membesarkan anak orang kurang upaya (OKU) menuntut kekuatan mental melebihi kekuatan fizikal.

“Kami tiada tempat bergantung, bercerita atau mengadu masalah dan pada masa sama emosi perlu kuat untuk membesarkan anak OKU yang memerlukan perhatian lebih.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan situasi yang kami lalui sepanjang 16 tahun lalu, tetapi mujurlah sokongan ibu tunggal lain banyak membantu,” katanya.

Kesabaran dan ketabahan Salmiah dikongsi Zulhasnimar Hassan Basri, 47, dalam membesarkan anaknya Khairina Putri Sariman, 17, yang mengidap celebral palsy (CP).

Pada awalnya memang sukar menerima hakikat kecacatan Khairina berpunca akibat lemas di dalam perut ketika proses kelahiran, lama kelamaan dia dapat menerima takdir.

“Selama tiga bulan saya ‘berumah’ di hospital kerana Khairina kerap sawan sehingga dia terpaksa memakan enam jenis ubat, malah ada ketikanya disuntik untuk menghilangkan penyakit,” katanya.

myMetro 7 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment