December 9, 2015

Lampam 'serah diri'

Penduduk menunjukkan ikan lampam yang ditangkap menggunakan jaring.

Parit Buntar: Penduduk yang tinggal di kawasan Tali Air Batu Lima, di sini, mendapat rezeki tidak diduga apabila ratusan ikan lampam seolah-olah menyerah diri’ dengan timbul di permukaan air sejak awal pagi kelmarin.

Berikutan itu, puluhan penduduk termasuk dari luar datang ke kawasan berkenaan untuk menyertai pesta menangkap ikan dengan pelbagai gelagat apabila lelaki dan wanita tanpa mengira umur menggunakan pelbagai cara menangkap ikan berkenaan.

Penduduk, Mohd Akhmal Sably, 25, berkata kejadian lampam ‘mabuk’ itu hanya disedari penduduk sekitar jam 7 pagi kelmarin apabila mereka banyak ikan spesies itu timbul di permukaan air.

Katanya, dia yang tinggal berhampiran tali air terbabit segera memasang pukat untuk menangkap ikan.

“Dalam tempoh kurang satu jam, saya mendapat lebih 20 kilogram lampam.

“Saiznya sebesar tapak tangan hinggalah ada di antaranya mencecah berat hampir dua kilogram,” katanya, di sini semalam.

Mohd Akhmal berkata, selain ikan lampam, ada penduduk menangkap belut tuna seberat tiga kilogram menggunakan jala.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perikanan Daerah Kerian, Hamidon Ahmad ketika dihubungi, berkata kejadian itu mungkin berpunca akibat kekurangan oksigen di dalam air atau dikenali juga sebagai Dissolved Oxygen (DO) yang memungkinkan ikan lemas.

“Akibat keadaan DO itu, ada ikan yang lemas dan terapung manakala yang lain timbul di permukaan air bagi mendapatkan oksigen,” katanya yang menjelaskan perlu menyiasat punca berlaku DO.

myMetro 7 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment