November 30, 2015

Tiba-tiba buat `U-turn'

FOTO Rosli Ilham

Kemaman:  Pengawal keselamatan maut manakala dua rakannya cedera, seroang daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 121, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kemasik, kira-kira 1 pagi ini.

Norhazawi Awang, 39, dari Kampung Baru Kerteh meninggal serta merta di tempat kejadian.

Rakannya yang masih belum diperolehi identitinya dilaporkan kritikal manakala seorang lagi mengalami cedera.

Jenazah mangsa yang bertugas di Perwaja Steel itu dibawa ke Forensik Hospital Kemaman manakala dua rakannya yang parah dan cedera dihantar ke Hospital sama untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki tiga sahabat terbabit dipercayai membuat pusingan-U sebelum dirempuh bas ekspress yang datang dari arah yang sama.

Pemandu bas, Wan Norhisham Wan Hussin,41, berkata ketika kejadian dia membawa 40 penumpang dari Setiu Terengganu menuju Kuala Lumpur.

Katanya, setiba di tempat kejadian dia terkejut apabila mendapati kereta terbabit yang sebelah kirinya tiba-tiba membuat pusingan-U.

"Saya terkejut dan terus menekan brek. Tapi, tak sempat. Bas saya pandu itu menyeret kereta itu kira-kira 80 meter," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

myMetro 29 November 2015


Seorang maut, dua parah dalam kemalangan

KEMAMAN - Seorang lelaki maut manakala dua rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 121, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kemasek, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu menyebabkan mangsa Norhazawi Awang, 39, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga sahabat berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kampung Baru, Kerteh setelah selesai menjamu selera di sebuah restoran di Kemasek.

Kereta Perodua Kancil yang dipandu Mohd Izuan Ismail, 21, dikatakan secara tiba-tiba menukar laluan dari kiri ke kanan jalan untuk membuat pusingan U sebelum dirempuh bas ekspres yang yang dipandu Wan Nor Hisham Wan Husin, 41, yang datang dari arah yang sama.

Bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Setiu menuju ke Kuala Lumpur bersama 40 penumpang.

Rempuhan itu mengakibatkan Norhazawi yang duduk di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian manakala Mohd Izuan dan Mohd Nabil Fitri, 21, yang duduk di tempat duduk hadapan cedera parah.

Mohd Izuan kini masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kemaman dan keadaannya dilaporkan stabil manakala Mohd Nabil dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya mayat mangsa yang berasal dari Kampung Baru, Kemaman telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat. - Bernama

29 Nov 2015



0 comments:

Post a Comment