November 23, 2015

Risau fenomena air laut pasang

SEORANG warga emas, Lipot Yunus meredah air untuk keluar dari kawasan rumahnya disebabkan paras air masih tinggi di Kampung Seri Sentosa, Bestari Jaya.

Kuala Selangor: Kawasan banjir di daerah ini, diletakkan di dalam keadaan berjaga-jaga berikutan banjir besar boleh berulang semula susulan fenomena air laut pasang esok.

Pengerusi Operasi Banjir Daerah Kuala Selangor Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini giat membersihkan kawasan parit dan aliran air terutama di kawasan yang dilanda banjir.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan sungai bersih dan mengalir dengan baik bagi mengelakkan limpahan air sungai berulang.

“JPS sedang berusaha mengepam keluar air banjir di kawasan ini ke sungai berhampiran dan setakat ini tujuh pam sedang beroperasi dan hari ini (semalam) kita menambah sebuah lagi pam di Kampung Simpang Tiga Jeram,” katanya ditemui di sini semalam.

Difahamkan keadaan banjir di sekitar daerah Kuala Selangor semakin pulih apabila hampir separuh daripada 900 mangsa diletakkan di beberapa pusat pemindahan dibenarkan pulang semalam.

myMetro 23 November 2015



0 comments:

Post a Comment