November 14, 2015

Pemandu maut lelaki jatuh atas kereta

BUMBUNG kereta remuk selepas ditimpa lelaki yang jatuh dari bangunan hotel. FOTO Salman Hamat dan Hatim Ab Manan 

KEADAAN kereta selepas ditimpa lelaki yang jatuh dari bangunan hotel. FOTO Salman Hamat dan Hatim Ab Manan 

Melaka: Pemandu kereta maut selepas kenderaan yang sedang dipakir itu ditimpa lelaki yang jatuh dari bangunan hotel di Jalan Parameswara, Banda Hilir, Melaka Tengah, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa dipercayai baru meletakkan kenderaanya sebelum ke tempat kerja.

Namun secara tiba-tiba kenderaan terbabit dihempap lelaki yang jatuh dari bangunan menyebabkan bumbung kereta bahagian pemandu remuk.

"Polis kini sedang menunggu pasukan forensik untuk melakukan pemeriksaan sebelum mayat mangsa dihantar ke hospital.

"Lelaki yang jatuh dari bangunan itu pula dilaporkan parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan kecemasan," katanya.

myMetro 13 November 2015


Pelajar UiTM maut dihempap lelaki jatuh dari hotel

MELAKA: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut selepas kereta yang dipandunya dihempap seorang lelaki, dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata mangsa dikenal pasti sebagai Arfan Syazani Salahudin, 19, dari Bukit Rambai, dekat sini. Katanya, kejadian kira-kira 11 pagi itu, ketika mangsa yang menaiki Perodua Viva baharu tiba di tempat letak kereta hotel berkenaan.

"Hasil hentakan lelaki berkenaan mengakibatkan bahagian bumbung kereta kemek dan terkena mangsa yang juga pekerja sambilan di hotel berkenaan.

"Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. "Lelaki berusia 43 tahun yang terjatuh di atas kereta mangsa pula mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka kira-kira pukul 3 petang," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Shaikh Abdul Adzis berkata, lelaki dari Bukit Katil di sini yang dipercayai terjun dari tingkat 13 itu mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.

Katanya, kes kematian remaja itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, ibu Arfan Syazani, Aslina Ansari, 43, ketika ditemui berkata anaknya itu sedang bercuti semester tiga dari pengajiannya di UiTM Dungun dan bekerja di hotel itu kira-kira dua minggu.

"Sebelum pergi kerja pagi tadi dia sempat meminta bekal untuk dibawa ke tempat kerja walaupun biasanya dia tidak berbuat demikian.

"Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan pada dirinya, namun pagi tadi saya sempat berpesan pada arwah supaya berhati-hati memandu," katanya.

Aslina berkata, dia dan keluarga reda dengan insiden itu dan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina di sini.

Berita Harian 13 Nov 2015



0 comments:

Post a Comment