November 14, 2015

Pemandu lori ditahan susulan penemuan mayat

IPOH: Polis menahan seorang pemandu lori selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan di Jalan Kampung Batu 4, Slim River dekat Tanjung Malim berikutan penemuan mayat seorang lelaki di dalam longkang tanpa kepala awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Goh Kok Liang, berkata suspek berumur 35 tahun itu ditahan di rumah bapanya di Kampung Air Jada, Gerik, petang tadi.

"Polis menemui sebilah parang panjang kira-kira 0.8 meter, satu beg silang mengandungi sebilah pisau panjang kira-kira 0.15 meter.

"Satu guni plastik makanan anjing berwarna merah dan kuning serta di dalamnya terdapat satu plastik sampah warna hitam," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menemui kepala manusia yang disyaki kepala mangsa di dalam beg sampah berkenaan. Goh berkata pada 2.10 pagi tadi, mayat seorang lelaki ditemui di dalam longkang tanpa kepala di tempat kejadian.

"Bertindak atas maklumat unit anjing pengesan K9 dan forensik telah dihubungi untuk ke lokasi memberi bantuan. Siasatan awal di tempat kejadian di Jalan Persekutuan (Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Batu 4, Slim River.

Terdapat kesan darah di atas jalan raya sebelah kiri arah selatan (arah Slim River)," katanya.

Mangsa dikenali sebagai K. Ganesan, 50, yang beralamat terakhir di 136, Taman Slim Indah, Slim River.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintenden Ahmad Mat Isa, berkata sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Berat D9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak menahan sebuah lori kontena yang dipercayai digunakan suspek di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng beberapa jam sebelum dia ditahan.

Bagaimanapun, suspek yang dipercayai membawa kepala mangsa bersamanya, gagal dikesan dan pasukan forensik dibawa ke lokasi penemuan lori berkenaan bagi siasatan lanjut.

Difahamkan kedua-duanya bergaduh sebelum mangsa dipancung dan kepalanya dibawa suspek masuk ke dalam lori terbabit yang kemudian dipandu ke depoh di Simpang Pulai. - BERNAMA

Berita Harian 13 Nov 2015


Bawa lari kepala 250km

Slim River: Kepala lelaki yang dipenggal pemandu lori kontena dalam kejadian di Kampung Batu 4, di sini, awal pagi semalam, dilarikan suspek sejauh 250 kilometer sebelum disembunyikan di kediaman bapanya di Kampung Air Jada, Gerik, dekat sini.

Dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa dibunuh dengan badannya dibuang dalam longkang di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, di Kampung Batu 4, di sini, manakala kepalanya tidak ditemui di tempat kejadian.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 50 tahun dipercayai bergaduh dengan pemandu lori kontena itu di tepi jalan berkenaan dan suspek bertindak ganas apabila memukul mangsa sebelum memancung kepalanya disyaki menggunakan parang atau pedang.

“Selepas membunuh mangsa, suspek ambil kepala mangsa sebelum melarikan diri dengan lori dipandunya.

“Hasil maklumat daripada kejadian itu, pada jam 9 pagi tadi (semalam), polis mengesan dan menahan lori suspek di depan pintu masuk Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, dekat sini, namun difahamkan lori berkenaan dipandu rakan sekerja suspek,” kata sumber itu di sini, semalam.

Sumber itu berkata, pemeriksaan terhadap lori berkenaan gagal menemui kepala mangsa dan difahamkan, suspek memandu kenderaan berat itu pada syif malam sebelum meninggalkannya di tempat letak kenderaan milik majikannya di Simpang Pulai, Ipoh, manakala pemandu yang ditahan itu bertugas pada syif pagi.

Menurut sumber itu lagi, berdasarkan soal siasat, suspek berusia 30-an membunuh mangsa selepas mendengar ‘bisikan’ yang mengarahkannya memenggal kepala lelaki berkenaan, sebelum membungkusnya dengan plastik sampah hitam.

“Suspek pulang ke rumah bapanya di Gerik dan serbuan sepasukan polis berjaya memberkasnya pada jam 2 petang tadi (semalam) serta menemui kepala mangsa dalam bungkusan plastik hitam itu,” kata sumber.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, sejurus mendapat maklumat, pihaknya ke lokasi kejadian. Siasatan menemui kesan darah di atas jalan raya sebelah kiri arah selatan (arah Slim River) dan pemeriksaan menemui mayat tanpa kepala di dalam longkang berhampiran.

“Berdasarkan siasatan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Forensik, kami menemui salinan dokumen pengenalan diri dipercayai milik mangsa iaitu K Ganesan, 50, yang beralamat di Taman Slim Indah, di sini,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan lori yang dipandu suspek di RTC Gopeng, dekat sini.

“Polis menahan suspek beberapa jam kemudian di kediaman bapanya di Gerik, bersama barang kes (kepala) dan siasatan menyeluruh dijalankan,” katanya.

Ahmad berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, dekat sini, untuk dibedah siasat.

myMetro 14 November 2015


Suspek didakwa sering bercakap sendirian

GERIK 14 Nov. – Adik perempuan kepada suspek kes bunuh dan memenggal kepala seorang lelaki di Slim River semalam mendakwa abangnya itu berkelakuan pelik kerana sering dilihat bercakap bersendirian.

Dia yang enggan dikenali memberitahu, abangnya berperangai sedemikian sejak tujuh tahun lalu namun mereka tidak pernah merujuk perkara itu kepada pakar psikiatri atau mana-mana perubatan moden.

Menurutnya, abangnya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak menetap di Ipoh serta bekerja sebagai pemandu lori merupakan seorang yang baik cuma berperangai pelik.

“Selepas ditahan polis, abang sempat menceritakan tentang kejadian yang dilakukannya. Dia berkata ternampak timbunan duit di tepi jalan di Slim River.

“Dia mahu mengambil duit tersebut namun dihalang oleh hantu lalu memotong kepala hantu yang didakwa dilihatnya itu,” dakwanya ketika ditemui hari ini.

Menurut wanita tersebut, dia terkejut dengan apa yang dilakukan oleh abangnya itu sambil menyifatkan ia sebagai dugaan berat yang dihadapi oleh mereka sekeluarga.

Katanya, dia tidak menyangka abangnya terlibat dalam kes itu kerana ketika berada ke rumah ibu dan bapa di sini baru-baru ini, abangnya tidak menunjukkan ge­lagat yang mencurigakan.

Tambahnya, abangnya berkelakuan seperti biasa malah sempat menunaikan solat Jumaat dan makan tengah hari bersama-sama sebelum ketibaan pasukan polis.

“Malah ketika polis mengepung rumah kami, saya masih tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah abang menunjukkan tempat dia meletakkan kepala mangsa dalam timbunan baja di hadapan rumah kami,” katanya.

Utusan 15 November 2015


Suspek bunuh secara rambang

TELUK INTAN 14 Nov. - Pemandu lori yang dipercayai memenggal kepala seorang lelaki di Jalan Kampung Batu 4, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur di Slim River semalam dipercayai melakukan pembunuhan tersebut secara rambang.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Ahmad Mat Isa berkata, suspek juga dipercayai mengamalkan ilmu songsang sehingga terdorong melakukan perbuatan tersebut.

“Polis percaya suspek tidak me­nge­nali mangsa dan semasa kejadian mangsa yang sedang berjalan seorang diri telah dihampiri oleh suspek sebelum membunuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, suspek kes tersebut iaitu seorang pemandu lori ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan bermula hari ini.

Lelaki berusia 35 tahun itu yang ditahan pukul 3 petang semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Nadia Abdul Razak bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap tiba di pekarang­an mahkamah pada pukul 9.50 pagi dengan menaiki kereta polis sebelum keluar menaiki kenderaan sama kira-kira sejam kemudian.

Dalam kejadian semalam, mayat K. Ganesan, 50, dari Taman Slim Indah, Slim River ditemukan tanpa kepala dalam sebuah longkang di Jalan Kampung Batu 4, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Slim River pada pukul 2.10 pagi.

Susulan penemuan tersebut, polis berjaya memberkas seorang pemandu lori di sebuah rumah di Kampung Air Jada, Gerik bersama satu bungkusan yang mengandungi kepala manusia dipercayai kepala mangsa.

Lelaki itu difahamkan me­nempuh perjalanan berkereta sejauh lebih 230 kilometer dari Slim River ke Gerik dengan membawa kepala mangsa untuk ditanam berhampiran rumah ke­luarganya.

Bagaimanapun, perancangan lelaki itu yang telah pun mempersiapkan cangkul untuk tujuan tersebut gagal apabila dia ditangkap.

Utusan 15 November 2015


Kesal anak dibunuh kejam

TANJUNG MALIM 14 Nov. – Ibu kepada lelaki yang mayatnya ditemukan tanpa kepala dalam sebuah longkang di Jalan Kampung Batu 4, Slim River dekat sini semalam kesal apabila anak kelima daripada sembilan beradik itu diperlakukan dengan kejam.

R. Perima, 75, berkata, dia masih mampu menerima hakikat sekiranya anaknya, K. Ganesan, 50, hanya dipukul namun bukan­nya dibunuh dengan cara memenggal kepala.

“Jika anak saya dipukul sahaja tidak mengapa, tetapi mengapa sampai mahu dibunuh? Ganesan bukannya berharta malah duit pun dia tiada.

“Jika boleh saya mahu jumpa dia (pembunuh). Saya mahu tanya kenapa dia pukul anak saya. Perbuatannya tidak baik kerana anak saya tidak mengganggu sesiapa pun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Slim Indah, di sini hari ini.

Menurut Perima, anaknya itu yang baru dua bulan bekerja di kedai besi buruk di Slim River, mempunyai seorang isteri serta dua anak berusia 20 dan 22 tahun yang kini menetap di Raub, Pahang.

Katanya, dia jarang berjumpa dengan anaknya itu kerana mang­sa lebih banyak menghabiskan masa di kedai tempatnya bekerja.

“Kali terakhir kami berjumpa dua bulan lalu dan saya pernah menyuruhnya pulang ke rumah, tetapi sehingga sambutan Deepavali baru-baru ini dia masih tidak pulang,” ujarnya.

Tambahnya, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan pihak polis yang datang ke rumahnya pada pukul 5.30 pagi semalam.

“Saya terperanjat selepas me­nge­tahui kejadian yang menimpa Ganesan dan segera ke hospital di Ipoh untuk melihat mayatnya.

“Bagaimanapun, sehingga kini saya masih belum berpeluang melihat jasad anak saya. Saya berharap pembunuh itu menerima hukuman setimpal,” katanya.

Utusan 15 November 2015


Pemandu lori didakwa membunuh

TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pekerja pusat pe­ngumpulan bara­ngan lusuh yang ditemui dipenggal kepalanya dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhamad Naji Saad, 35, yang hanya me­ngangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria

Mengikut pertuduhan, Muhammad Naji yang beralamat di Taman Meru Raya, Ipoh didakwa membunuh K. Ganesan, 50, di tepi jalan Kampung Batu 4, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah Slim River pada pukul 2.30 pagi, 13 November lalu.

Muhamad Naji yang juga bapa kepada dua anak didakwa mengikut Sek­syen 302 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Kosmo 26 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment