November 21, 2015

Pelajar cedera dibelasah senior


ALOR SETAR – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah agama swasta cedera parah didakwa akibat dipukul sekumpulan pelajar senior di luar bilik asrama sekolah itu di Pokok Sena di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa yang berumur 13 tahun mengalami lebam-lebam di seluruh badan serta pendarahan usus serta buah pinggang sehingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azizan, 40, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu kira-kira pukul 6 pagi kelmarin selepas dihubungi salah seorang suspek.

“Suspek menelefon saya ke­rana mahu meminta ganti rugi se­banyak RM400 selepas mendakwa anak saya mencuri telefon bimbitnya. Saya kemudian meng­hubungi pihak sekolah sebelum segera ke sana,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dia yang merupa­kan seorang pemandu lori memberitahu, sebaik tiba, mangsa yang merupakan anak kedua daripada lima beradik mendakwa, dia telah dipukul sekumpulan pelajar senior kerana dituduh mencuri telefon bimbit.

“Anak saya beritahu dia telah ditarik keluar daripada bilik asrama berkenaan dan dipukul serta ditendang bertubi-tubi oleh beberapa pelajar senior.

“Biarpun kejadian itu disaksi­kan oleh ramai penghuni asrama yang lain namun mereka hanya mampu melihat,” ujarnya yang telah membuat laporan polis sejurus kejadian itu.

Kosmo 21 Nov 2015


Usus berdarah, buah pinggang cedera

Alor Setar: Pelajar lelaki sekolah menengah agama swasta di Pokok Sena, di sini, mengalami pendarahan usus dan cedera buah pinggang selain lebam di badan dan muka selepas dipukul lima rakan sebilik, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Mohd Irfan Azizan, 13, bukan saja dipukul menggunakan tangan, malah disepak di seluruh badan oleh lima pelajar lelaki berusia 14 hingga 18 tahun berikutan dituduh mencuri telefon bimbit.

Bapa mangsa, Azizan A Aziz, 40, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira tiga jam kemudian apabila dihubungi seorang daripada lima pelajar yang memukul anaknya bagi meminta wang ganti rugi sebanyak RM400 selain memaklumkan anaknya dipukul.

Katanya, bimbang sesuatu buruk menimpa anaknya dia segera menghubungi pihak sekolah yang kemudian memeriksa keadaan anaknya di asrama.

"Saya dimaklumkan pihak sekolah, rakan anak memberitahu Mohd Irfan sedang tidur kerana demam menyebabkan saya sendiri pergi ke sekolah kira-kira 10 pagi untuk memeriksa keadaannya.

"Saya terkejut melihat keadaannya yang lemah dan tidak berdaya untuk bangun menyebabkan hati ini bertambah risau.

"Dia (Mohd Irfan) juga mengadu sakit kepala dan dada selain muntah beberapa kali menyebabkan saya segera membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

"Pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami lebam di dada, muka, belakang badan dan sakit di bahagian pinggang," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan polis akan menahan kelima-lima suspek bagi membantu siasatan.

myMetro 20 November 2015

0 comments:

Post a Comment