November 21, 2015

Tunggu masa bawa pulang


Kuala Lumpur: “Alhamdulillah keadaan Hafiz semakin stabil dan kini sedang menunggu isyarat doktor untuk dibawa balik ke rumah.

“Namun, saya memang tetap mengharapkan bantuan orang ramai untuk menampung baki kos rawatan tertunggak dan susulan serta pembelian mesin seperti alat bantuan pernafasan selain keperluan lain,” kata Siti Zubaidah Ramli, 33, ibu kepada Muhammad Hafiz Zuharman berusia tujuh bulan.

Muhammad Hafiz yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak lahir menderita penyakit Large Omphalocele hingga menyebabkan ususnya sebesar kepala terkeluar.

Kelmarin Harian Metro menyiarkan kesengsaraan Muhammad Hafiz yang menangis tanpa suara selain pergerakannya terbatas termasuk tidak boleh meniarap serta ibu bapanya kebuntuan kerana tidak mampu melunaskan kos rawatan tertunggak lebih RM30,000.

Siti Zubaidah berkata, dia dan suaminya Zuharman Che Soh, 33, tetap berusaha sedaya upaya untuk memastikan anak sulung mereka itu dapat hidup seperti bayi lain namun masalah kewangan menjadi kekangan.

Sementara itu, jurucakap JKM Selangor berkata, pihaknya sudah meluluskan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM300 sebulan bagi Muhammad Hafiz atas nama bapanya Zuharman.

“Bantuan selama setahun itu sudah diluluskan untuk pembayaran pertama pada bulan ini. Kita juga meluluskan permohonan kad orang kurang upaya (OKU) untuk Hafiz yang melayakkannya mendapat pelbagai keistimewaan bagi meringankan beban keluarganya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zuharman di talian 011-1995 6074 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB, Zuharman Che Soh di nombor akaun 7616249251.

myMetro 21 November 2015

0 comments:

Post a Comment