November 30, 2015

Mak Bedah dijejaki


Seremban: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan mengesahkan memburu seorang wanita dikenali sebagai Mak Bedah yang giat menipu orang ramai mengakibatkan kerugian lebih RM500,000.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Deputi Superintendan Nor Aini Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kes penipuan membabitkan mangsa di Lukut, Port Dickson oleh wanita berusia 40-an terbabit.

“Kes dalam siasatan dan usaha mengesannya masih dijalankan,” katanya, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa penipuan Mak Bedah tampil berkongsi pengalaman ditipu wanita terbabit.

Siti Faridah Rozeiry, 26, berkata, dia bersama ibunya membantu Mak Bedah menjual barangan runcit seperti telur, lampin pakai buang, susu dan mesin pengisar kepada rakan sekerjanya.

“Mak Bedah menjual barangan runcit berkenaan pada harga lebih murah berbanding pasaran menyebabkan saya tertarik menjalankan urus niaga dengannya.

“Pada masa sama, saya turut bersimpati dengan kesempitan hidup Mak Bedah,” katanya yang tinggal di Taman Vista Jaya, di sini.

Menurut Siti Faridah, sepanjang tiga bulan berurusan, dia tidak berdepan masalah dan Mak Bedah juga ada menyerahkan invois selain resit bayaran sebagai bukti pembelian.

Bagaimanapun, katanya, penipuan Mak Bedah terbongkar selepas wanita terbabit gagal menyerahkan barangan ditempahnya membabitkan barangan runcit dan mesin pengisar bernilai lebih RM7,000.

“Saya minta Mak Bedah mengembalikan wang berkenaan dan dia menyerahkan sekeping cek, namun ia cek tendang. Malah pemeriksaan turut mendapati semua invois dan resit yang diserahkan kepada saya palsu.

“Nama syarikat dan alamat yang tertera pada invois berkenaan tidak wujud. Saya mengirim SMS memarahinya dan dia berjanji menyerahkan barangan runcit dan mesin pengisar seperti dijanjikan kepada saya sebelum meminta saya mengambil barangan berkenaan di sebuah rumah di Lukut, 1 Oktober lalu.

“Saya ke alamat diberi namun ia alamat palsu. Usaha mengesan Mak Bedah tidak berhasil kerana dia sudah melarikan diri,” katanya.

Siti Faridah kemudiannya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Lukut, 4 Oktober lalu.

Menurut Siti Faridah, Mak Bedah kali terakhir dikesan berada di Pulau Pinang dan dia berharap wanita terbabit segera ditahan bagi memastikan tiada individu lain menjadi mangsanya.

myMetro 30 Nov 2015


Reman ditambah empat hari lagi

Port Dickson: Tempoh reman ke atas seorang wanita dikenali sebagai Mak Bedah dilanjutkan empat hari lagi bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes penipuan di Lukut di sini, semalam.

Wanita berusia 41 tahun itu dibawa anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson ke Mahkamah Majistret di sini, bagi mendapatkan lanjutan reman terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharuddin Mustapa berkata, mahkamah kemudiannya membenarkan wanita terbabit direman bermula semalam hingga Jumaat ini.

“Lanjutan tempoh reman ini membolehkan kami melengkapkan siasatan berhubung beberapa dakwaan penipuan dilakukannya di sekitar daerah ini terutama di Lukut.

“Sekiranya tempoh reman ini tidak mencukupi, kami akan membuat permohonan untuk melanjutkannya,” katanya.

Pada masa sama, wanita terbabit kelihatan tenang sebaik dibawa keluar dari mahkamah selepas mahkamah membenarkan lanjutan tempoh reman terhadapnya.

Muka depan Harian Metro Khamis lalu melaporkan Mak Bedah ditahan selepas lebih setahun diburu bagi membantu siasatan beberapa kes penipuan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

Wanita itu ditahan di rumah sewanya di Bandar Ainsdale, Seremban dekat sini, 14 Disember lalu, selepas gagal memperdaya seorang lelaki berhubung proses jual beli rumah lelaki berkenaan.

Wanita terbabit dilaporkan melarikan diri dari Lukut ke Seremban bersama tujuh anak dengan menyewa rumah di Bandar Ainsdale selepas tembelangnya terbongkar.

Pendedahan bersiri dalam akhbar ini bermula 28 November lalu apabila wanita terbabit dilaporkan diburu polis selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes penipuan membabitkan pembelian barangan runcit, perabot, makanan serta menggunakan nama individu lain untuk membuat pinjaman daripada along.

myMetro 23 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment