November 30, 2015

Wanita paling ramai kena gangguan makhluk halus

SEBERANG TAKIR – “Sejak kecil sehingga usia 28 tahun sekarang, saya belum terlepas sepenuhnya daripada gangguan (makhluk halus), malah keadaan sama turut dialami empat adik beradik saya lain,” demikian kata seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nur.

Nur merupakan salah seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Perawatan Rabbani di Seberang Takir sejak lebih setahun lalu kini mengakui kesihatannya bertambah baik, namun masih mengalami gangguan pada waktu-waktu tertentu.

Nur berkata, kesengsaraan itu terpaksa ditanggungnya serta empat beradik lain sejak berpuluh tahun lalu dipercayai akibat perbuatan khianat pihak tertentu kepada keluarga mereka.

“Sejak kecil saya bukan sahaja sering mengalami mimpi buruk, berdepan masalah kesihatan seperti demam dan batuk dalam tempoh yang lama, selain cepat merasa letih terutamanya pada waktu Maghrib.

“Pada awalnya, saya hanya merasakan ia perkara biasa, namun setelah berlarutan sejak sekian lama, kedua ibu bapa saya mendapatkan khidmat ustaz, namun tidak lama setalah mendapatkan rawatan, gangguan itu akan datang kembali.

“Keadaan itu turut dialami empat adik beradik saya lain dan sehingga kini gangguan itu masih lagi ada, namun Alhamdulillah setelah mendapatkan rawatan di sini (Pusat Rawatan Rabbani) keadaan beransur pulih,” katanya yang mempunyai sembilan beradik, di mana kini menetap di Kuantan, Pahang dan berulang-alik ke Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

Dua kali dibuang kerja

Seorang lagi pesakit yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd berkata, gara-gara gangguan dan dipercayai terkena buatan orang, dia bukan sahaja dua kali dibuang kerja, tetapi sanggup memukul kepala sendiri kerana tidak tahan dengan kesakitan melampau.

Menurut Mohd, sakit yang disifatkan sebagai gangguan itu dialami sejak berbelas tahun lalu dan lebih 10 orang khidmat ustaz telah ditemuinya bagi menyelesaikan ‘sakit’ yang dialaminya itu.

“Oleh kerana terlalu kerap mengambil cuti disebabkan sakit kepala yang melampau, saya telah dua kali dibuang kerja oleh majikan yang berbeza dan sehingga kini keadaan diri masih tidak menentu.

“Namun, sejak kebelakangan ini, sakit agak berkurang, namun ada waktu tertentu ia akan menyerang hingga mengakibatkan adakalanya saya hilang pertimbangan dengan memukul kepala sendiri kerana tidak tahan dengan kesakitan,” katanya.

Katanya, selain gangguan sakit kepala yang melampau, sekiranya penyakit itu menyerang turut membuatkan dirinya tidak bermaya serta tidak mampu untuk melakukan apa-apa kerja.

Amal baca al-Quran

Sementara itu, Pengasas Persatuan Kebajikan dan Perawatan Rabbani, Datuk Dr Abdullah Abu Bakar berkata, sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat berkenaan terdiri daripada mereka yang mengalami gangguan sama ada sihir atau santau.

“Alhamdulillah, sejak pusat rawatan ini beroperasi beberapa tahun lalu, kejayaan rawatan sehingga 90 peratus dan kita sangat berharap agar semua pesakit yang datang mendapatkan khidmat rawatan sepenuhnya menggunakan ayat-ayat cuci al-Quran dan seratus peratus perawatan Islam ini akan sembuh.

“Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pesakit yang datang disebabkan terkena buatan orang, gangguan makhluk halus, saka, jin dan sebagainya, di mana wanita pesakit paling ramai.

“Selain memberikan rawatan, kita juga sentiasa menasihatkan pesakit agar sentiasa mengamalkan bacaan al-Quran bagi mengelak gangguan makhluk halus ini,” katanya.

Katanya, pusat yang mempunyai tujuh perawat termasuk lelaki dan wanita ini hanya mengenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM30 untuk semua pesakit dan beroperasi setiap Sabtu mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Setiap Sabtu rawatan ini, akan dibuat di Surau Al-Nur, Jalan Ketapang, Telaga Daing dan untuk hari-hari biasa, pesakit boleh terus menghubungi perawat untuk mendapatkan khidmat rawatan di rumah mereka,” katanya.

Sinar Harian 30 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment