November 20, 2015

Hujan lebat, air laut pasang besar

PENDUDUK kampung menggunakan papan titian di halaman rumah yang dipenuhi air.

Pantai Remis: Jumlah mangsa banjir di Kampung Padang Serai, di sini, yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai adalah 67 orang membabitkan 18 keluarga setakat jam 6 petang, semalam.

Pusat pemindahan itu dibuka sejak jam 8 malam Isnin lalu selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam di kawasan berkenaan mengakibatkan beberapa kediaman dinaiki air serta masih belum surut hingga semalam.

Penduduk, Hambiah Ahmad, 52, berkata, dia lali dengan banjir yang melanda kampung itu kerana ia berlaku hampir setiap tahun.

Menurutnya, rumahnya berhampiran sungai dan mereka bersiap sedia dari awal lagi kerana hujan lebat sejak kebelakangan ini.

“Berikutan itu, kami bersedia dengan menyimpan dokumen di tempat selamat dan mudah dicapai apabila berlaku banjir yang memerlukan kami meninggalkan rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ketua Kampung Padang Serai, Hasan Ismail pula berkata, kejadian itu memang biasa bagi penduduk kampung berkenaan terutama ketika musim hujan.

“Hujan lebat menyebabkan air sungai penuh dan bertembung dengan air laut pasang besar menyebabkan air lambat surut serta memenuhi kawasan kampung. Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan bantuan agensi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, paras air di kampung berkenaan berada di paras yang sama, namun keadaan terkawal dan semua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Paras air masih pada tahap 0.2 meter dan belum surut. Bagaimanapun semua mangsa selamat dan ditempatkan di pusat pemindahan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

myMetro 19 November 2015

0 comments:

Post a Comment