November 14, 2015

Dua tahun tumpang tandas

Mohd Rizal di tepi rumahnya yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan tandas.

SEREMBAN – Sebuah keluarga yang tidak memiliki kemudahan tandas di rumahnya di Kampung Seperi, Jelebu, dekat sini, gembira apabila Parti Amanah Kawasan Jelebu menanggung sepenuhnya kos pembinaan tandas di kediaman mereka.

Mohd Rizal Abdul Samad, 30-an, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia sekeluarga kini boleh menggunakan tandas yang baru siap dibina itu setelah beberapa tahun rumahnya tidak memiliki tandas.

Ayah kepada empat anak berusia 2 bulan hingga 9 tahun itu berkata, mereka sekeluarga sebelum ini hanya menumpang tandas jiran sebelah rumah yang juga bapa saudaranya.

"Setiap hari kami terpaksa tumpang tandas rumah bapa saudara kerana saya tak mampu bina tandas sendiri kerana ia memerlukan wang yang banyak.

"Selama lebih dua tahun kami berdepan dengan masalah ini dan sekarang alhamdulillah, kami gembira dan berterima kasih kepada Parti Amanah yang prihatin dengan masalah kami," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Kawasan Jelebu, Mohamed Zabidi Abdullah berkata, pihaknya telah mengeluarkan dana parti bagi menanggung kos pembinaan tandas tersebut.

“Ketiadaan tandas menyukarkan kehidupan seharian keluarga ini. Jadi, Amanah mengambil sikap bertanggungjawab untuk membantu keluarga ini yang tidak mampu membina tandas.

“Kita juga berharap supaya JKM dapat memberi perhatian kepada keluarga terbabit kerana sumber pendapatan mereka amat sedikit dan tidak mampu menampung perbelanjaan harian," katanya.

Sinar Harian 13 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment