November 14, 2015

Dua pelajar maut elak langgar kucing

Rashid dan isteri, Zaiton menatap buat kali terakhir wajah anak ketiga dari empat beradik yang maut dalam kemalangan pagi kelmarin. Gambar kecil: Ahmad Ariff

KOTA BHARU - Permulaan cuti semester dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun Terengganu bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Kampung Kota, Gaung Pendek, di sini pagi kelmarin.

Kemalangan itu berlaku selepas kereta yang dipandu salah seorang mangsa terbabas lalu melanggar tiang lampu dan pagar kediaman penduduk dipercayai akibat mengelak kucing.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira terbabit Ahmad Ariff Rashid, 18 dan rakannya, Muhammad Amirul Thaqif Zolnadzruddin, 21, yang duduk di tempat penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Bapa Ahmad Ariff, Rashid Mustafa, 50, berkata, anaknya, yang baru pulang sempena cuti semester bersama rakannya.

“Dia mengajak rakannya itu tidur di rumah dan selepas makan malam kira-kira jam 9.30 malam, dia minta izin daripada saya hendak keluar rumah bersama rakannya untuk ke Pasar Borong Wakaf Che Yeh,” katanya kepada Sinar Harian.

Rashid yang bertugas di Mahkamah Pasir Mas berkata, dia diberitahu mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam 2.30 pagi oleh kenalan anaknya.

“Saya terus mengajak isteri, ke tempat kejadian yang terletak hanya 800 meter dari rumah. Sampai di lokasi kemalangan, saya lihat kereta yang dipandu anak saya  di kawasan itu dan dia serta rakannya mengalami pendarahan di kepala,” katanya.

Rashid berkata, dengan bantuan orang ramai anaknya dan rakan berjaya dikeluarkan walau bagaimanapun kedua-duanya kemudiannya meninggal di tempat kejadian.

Sementara itu, ibu Ahmad Ariff, Zaiton Hussin, 50, berkata, dia tidak menyangka gurauan anaknya mahu pergi jauh tiga hari sebelum kejadian petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia ada bergurau dengan saya, suami dan adik beradiknya yang lain ketika minum petang dengan mengatakan dia hendak pergi jauh. Bila saya tanya hendak ke mana?

Dia hanya senyum dan kata adalah… saya tidak fikirkan kata-katanya itu secara serius sehinggalah kejadian ini menimpanya," katanya.

Jenazah Ahmad Ariff selamat dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Kampung Pendek, Salor manakala jenazah Muhammad Amirul Thaqif dibawa pulang keluarganya ke Kuala Terengganu.

Sinar Harian 12 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment