November 18, 2015

Cacat tidak halang berjaya

Nurqyesha yang sebak ditenangkan Latifah.

KUALA NERUS – Kekurangan diri bukan halangan untuk berjaya.

Itu dibuktikan seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK), Nurqyesha Uzmahanim Zulhamadi apabila memperoleh keputusan 5A dalam pengumuman yang berlangsung serentak di seluruh negara, semalam.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Maras, Batu Rakit yang juga anak kepada pasangan, Latifah Yusof, 50 dan Zulmahadi Abdullah, 52, itu mengalami cacat tangan kanan ketika proses kelahiran dan hanya tangan kiri mampu berfungsi dengan baik.

Tak sangka dapat 5A

Menurut Nurqyesha, dia langsung tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang itu, apatah lagi hanya memperoleh 1A4B pada peperiksaan percubaan yang lalu.

Katanya, walaupun menjadi satu-satunya murid yang kurang berkemampuan, namun dia perlu bersaing dengan rakan sekelas yang lain dan melupakan kekurangan yang ada untuk mendapat keputusan cemerlang.

“Alhamdulillah, saya sama sekali tidak menyangka akan memperoleh keputusan 5A dan amat bersyukur kerana segala penat lelah saya selama ini terbalas akhirnya. Saya tiada rahsia tertentu, selain sentiasa memberi tumpuan di dalam kelas dan tidak meninggalkan solat.

“Saya turut berterima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan yang banyak beri sokongan walaupun saya tidak sempurna seperti orang lain. Rakan dan guru langsung tidak menyisihkan saya sepanjang mengikuti pembelajaran di dalam kelas dan banyak membantu,” katanya merupakan dari Kampung Maras, Batu Rakit, di sini.

'Terima kasih cikgu'

Bagi Latifah, dia sama sekali tidak menyangka Nurqyesha akan memperoleh keputusan 5A kerana anak bongsu daripada enam beradik itu bukan tergolong dalam kalangan murid cemerlang.

Kata suri rumah ini lagi, meskipun Nurqyesha mengalami kecacatan tangan, namun semangat ditunjukkan anaknya itu sama seperti murid yang lain.

“Sebagai ibu, saya orang paling gembira dengan pencapaian cemerlang Nurqyesha ini. Saya amat berterima kasih kepada pihak sekolah, guru dan lain-lain yang banyak membantu anak saya.

“Saya harap pencapaian cemerlang ini menjadi landasan untuk anak saya lebih berjaya, sekali gus mencapai impian untuk menyambung persekolahan di sekolah berasrama penuh,” katanya.

GPS naik semangat murid

Sementara itu, Guru Besar SK Maras, Ismail Abdullah berkata, seramai sembilan daripada 52 calon yang menduduki UPSR tahun ini, memperoleh keputusan 5A.

“Alhamdulillah, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan penglibatan semua pihak, terutama guru yang telah banyak menyumbang tenaga serta masa.

“Pada asalnya kita sasar 12 orang memperoleh 5A, tetapi hanya sembilan yang berjaya, tetapi keputusan itu sudah cukup bermakna memandang sekolah ini berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Ketika ditanya rahsia kejayaan sekolah berkenaan, kata Ismail, pihaknya melaksanakan program tersendiri iaitu Kem Gred Pencapaian Sekolah (GPS), dengan memberi tumpuan kepada murid kurang cemerlang.

“Tujuan kita bagi memastikan murid kurang cemerlang berjaya lepas semua mata pelajaran bagi mengekalkan GPS sekolah dan Alhamdulillah, ia berjaya.

“Selain itu, kita turut beri penekanan termasuk pergi ke rumah murid yang tidak datang ke sekolah kerana kita sedar kebanyakan murid di sini terdiri daripada golongan sederhana dan miskin. Cara itu secara tidak langsung menaikkan lagi semangat murid,” katanya.

Mengulas kejayaan Nurqyesha, Ismail mengakui, pihak sekolah amat berbangga dengan murid berkenaan yang mampu meraih kecemerlangan walaupun belajar dalam kelas arus perdana dan terpaksa bersaing dengan murid normal yang lain.

Sinar Harian 18 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment