November 18, 2015

Kekurangan diri bukan halangan

Ain Nadiah menerima kucupan tahniah daripada ibunya, Roslina dan ayahnya, Jamal Hurri Jalaludin, 52, ketika ditemui di SK Tanjung Rambutan, semalam.

IPOH – Memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi bukti kesungguhan seorang calon berkeperluan khas yang selama ini mengikuti pembelajaran menggunakan sebelah mata.

Ain Nadiah Jamal Hurri mengalami cacat penglihatan berikutan katarak pada mata kiri yang mula dikesan sejak berusia 7 tahun lagi.

Dia yang memperuntukkan empat jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran di rumah mengakui terpaksa duduk di bawah cahaya lampu bagi membolehkannya melihat dengan lebih jelas.

“Memang susah nak baca. Selain ditemani ibu sebagai guru di rumah, saya akan duduk bawah lampu setiap kali mahu ulang kali pelajaran agar perkataan yang dibaca lebih jelas," katanya.

Ditanya rahsia kejayaannya itu, Ain Nadiah yang amat meminati subjek Bahasa Inggeris berkata, dia sentiasa sembahyang lima waktu setiap hari selain membaca al-Quran sekurang-kurangnya selama sejam.

“Rutin tersebut menjadikan hati saya lebih tenang dan sentiasa gembira. Ini memudahkan saya belajar,’’ katanya.

Ibunya, Roslina Talib, 47, berkata, anak bongsunya itu pernah menjalani pembedahan dan telah bertukar kaca mata beberapa kali atas saranan doktor.

Namun katanya, pembedahan itu tidak banyak membawa perubahan terhadap penglihatan anaknya itu.

“Kini mata kirinya hanya mampu melihat dalam jarak 11 sentimeter sahaja.

"Melihat kejayaannya ini, hati saya lega kerana kecacatan yang dialaminya tidak menjadikan dia berbeza dengan pelajar lain, malah mampu mengatasi mereka,” katanya.

Selain menjadi murid cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Rambutan, Ain Nadiah turut dinobatkan murid cemerlang kategori calon berkeperluan khas peringkat negeri Perak.

Sinar Harian 18 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment