November 22, 2015

Bunuh rakan serumah: Warga Bangladesh diburu

Mohd Yusoff menunjukkan gambar suspek utama yang disyaki dalam kes pembunuhan rakan serumah.

KAPAR - Polis giat mengesan seorang lelaki warga Bangladesh yang merupakan suspek utama kes pembunuhan rakan serumahnya pada 5 November lalu.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, suspek, Hosen Ridoy, 18, bertindak memukul kepala mangsa menggunakan benda keras setelah berlaku pertengkaran antaranya dengan mangsa ekoran rasa tidak puas hati kerana mangsa yang juga rakan senegara selalu membulinya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa berusia 20 tahun telah dipukul di kepala dengan objek keras dan mengalami pendarahan teruk sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian tersebut berlaku akibat perbuatan mangsa yang suka membuli suspek semasa mereka berada di rumah.

“Mangsa (si mati) suka membuli suspek kerana suspek adalah ahli baharu rumah tersebut dan pekerja baharu (sambilan) di tempat sama dengan mangsa bekerja. Perbuatan mangsa menyebabkan suspek bertindak balas memukul mangsa sehingga mati.

“Ketika kejadian, dua rakan lain turut berada di rumah dan kita telah menahan dua rakan suspek untuk soal siasat, manakala suspek pula sudah melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Klang Utara di sini, kelmarin.

Kata Mohd Yusoff, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan selain sedang mengumpul maklumat berkaitan kejadian itu melalui soal siasat yang dijalankan daripada dua rakan serumah mereka.

“Kita juga sedang menyiasat bagaimana mereka (suspek dan mangsa) boleh sampai di sini dan bekerja di sini (kawasan Klang Utara) sedangkan mereka memegang pas pelajar di dua buah kolej berlainan di ibu negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek atau mengenali suspek boleh menghubungi IPD Klang Utara atau balai polis berdekatan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian 22 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment