November 22, 2015

Suami sanggup berhenti kerja jaga isteri terlantar

Mohd Fauzi berkorban masa dan tenaga menjaga Noor Rehan yang terlantar sakit sejak dua bulan lalu.

MACHANG - Seorang suami di Kampung Pangkal Nering di sini terpaksa berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada isterinya yang sakit terlantar sejak dua bulan lalu.

Mohd Fauzi Mohd Zin terpaksa mengambil keputusan tersebut bagi memastikan isterinya tidak dibiar keseorangan di rumah memandangkan dia tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Mohd Fauzi berkata, sebelum ini, jika isterinya, Noor Rehan Hamat mampu bergerak atau menguruskan diri, dia akan tetap keluar bekerja bagi mencari rezeki.

Katanya, mereka yang tidak mempunyai cahaya mata itu bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya sebagai buruh binaan.

“Saya tak sampai hati nak tinggalkan dia, usahkan bergerak, nak makan dan minum pun perlu saya suapkan.

“Biarpun menyedari kehidupan kami makin terhimpit apabila tiada pendapatan, namun saya terpaksa bertahan dan menggunakan simpanan yang tak seberapa,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, Noor Rehan menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) sejak 1996, namun tidak setiap hari.

Katanya, sejak dua bulan lalu, ia berlarutan dan akibatnya isterinya tidak mampu bergerak apatah lagi menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, bagi meringankan beban perbelanjaannya, doktor menyarankan dia mengisi borang permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya dah isi dan hantar dua minggu lalu dan berharap permohonan itu mendapat pertimbangan sewajarnya.

“Kami buntu memikirkan sumber pendapatan memandangkan isteri saya memerlukan belanja untuk makan minum dan juga pengangkutan ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Noor Norehan berkata, selepas dua minggu mendapat rawatan di hospital, sakitnya tidak berkurangan seperti biasa.

“Seluruh badan bersisik. Saya terpaksa bergantung sepenuhnya pada suami untuk menguruskan diri saya.

“Dia bekerja di Kota Bharu, dulu kalau sakit sikit-sikit dia tetap pergi kerja demi mencari sesuap nasi untuk kami namun kali ini dia terpaksa menumpukan sepenuh perhatian menjaga saya,” katanya.

Sinar Harian 22 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment