November 20, 2015

Bolot semua 7A

Pelajar Cemerlang UPSRA Peringkat Wilayah Persekutuan bergambar kenangan selepas menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

Kuala Lumpur: Pengurusan masa yang cekap dan kemahuan untuk berjaya menjadi resipi kejayaan Muhammad Hanif Mustakim, 12, apabila bukan hanya mendapat keputusan semua 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah (UPSR) malah mendapat 7A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2015.

Murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Suyuti, Kampung Pandan, di sini, menjadi Murid Terbaik Lelaki Peringkat Wilayah Persekutuan bagi keputusan UPSRA 2015 apabila mencatatkan keputusan 99.1 peratus dalam ujian berkenaan.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, ibu bapanya memberikan pemantauan pada tahap yang minimum terhadapnya terutama membabitkan pelajaran dan membiarkan saya membuat keputusan sendiri.

“Saya kena pandai menguruskan masa sama ada untuk mengulang kaji pelajaran, ke sekolah atau bermain. Malah ibu bapa tidak pernah memaksa saya untuk melakukan sesuatu perkara.

“Kemahuan untuk mendapat keputusan yang cemerlang lahir dari diri sendiri dan ibu bapa serta guru menyokong sepenuhnya,” katanya yang turut menjadi Tokoh Murid sekolahnya.

Bapanya, Mustakim Mohamad, 38, berkata, Muhammad Hanif memang gemar ke sekolah untuk belajar dan sebagai ibu bapa, dia sentiasa memberikan motivasi supaya anaknya sentiasa istiqamah.

“Sebagai ibu bapa, saya sering berdoa supaya dia berjaya. Malah guru juga berusaha keras dengan mengadakan beberapa program dan kelas tambahan. Bagaimanapun semua itu terpulang kepada individu itu sendiri untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Haidana Sofia Mohd Lazim, 12, dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Maturidi, Sri Petaling, di sini, dianugerahkan Murid Terbaik Perempuan Peringkat Wilayah apabila mendapat keputusan 98 peratus.

Haidana yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR dan 7A dalam UPSRA berkata, tumpuan ketika dalam bilik darjah dan banyak mengulangkaji pelajaran menjadi amalannya untuk berjaya.

“Memberi fokus ketika guru mengajar akan membuatkan kita lebih memahami sesuatu subjek. Saya juga membuat jadual sendiri untuk membahagikan masa untuk belajar dan membuat perkara lain,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

myMetro 19 November 2015

0 comments:

Post a Comment