November 14, 2015

Bayi tiga bulan perlu RM10,000


Md Norhalim (kanan) menziarahi Amar Ridzuan di Rumah Kebajikan Mustaqeem, Taman Muhibbah Kluang.

KLUANG - Seorang bayi, Amar Ridzuan Abd Aziz, tiga bulan, memerlukan lebih kurang RM10,000 bagi kos menjalankan pembedahan membetulkan mulutnya yang sumbing sejak dilahirkan.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan dana bagi membantu bayi berkenaan menjalani pembedahan pada tahun hadapan.

Setiap dana yang ingin disalurkan itu boleh diberi terus ke Rumah Kebajikan Mustaqeem di Taman Muhibbah Kluang.

Menurut Pengasas rumah kebajikan berkenaan, Ruzitah Bahrum, bayi tersebut akan menjalani pembedahan apabila dia berusia enam bulan dan berat badannya mencukupi.

Beliau berkata, sehingga saat ini tarikh sebenar untuk menjalankan pembedahan tidak diperoleh berikutan Amar Ridzuan perlu menjalani pemeriksaan pada Februari tahun hadapan.

“Setakat ini saya hanya mengikut tarikh yang diberikan oleh doktor di hospital Johor Bahru untuk untuk rawatan.

“Saya juga difahamkan oleh doktor yang merawat Amar sekiranya Amar menjalani pembedahan kemungkinan dia akan pekak tidak pun buta.

"Namun, semua itu hanya kemungkinan sahaja dan saya berharap Amar dapat membesar dengan sihat selepas pembedahan nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah kebajikan berkenaan, semalam.

Ruzitah berkata, ketika ini Amar perlu menanti giliran untuk menjalankan pembedahan selain kos yang perlu ditanggung.

Beliau berkata, dia akan sentiasa memantau tahap kesihatan bayi tersebut agar berat badanya bertambah dan memudahkan untuk menjalankan pembedahan.

“Dana bantuan untuk adik Amar ini diperlukan bukan untuk menagih simpati, namun bantuan ini diperlukan semata-mata untuk membetulkan kecacatan yang dialami oleh Amar, kerana kita tidak mahu dia hidup tersisih apabila dewasa nanti.

“Tidak perlulah untuk kita ungkit kisah silam hidupnya sehingga menyebabkannya berada di rumah kebajikan ini kerana dia juga hamba ALLAH seperti kita dan apa yang pasti dia memerlukan bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin menyeru orang ramai tampil membantu bayi itu supaya usahanya untuk membuat pembedahan akan dapat direalisasikan apabila sampai masanya nanti.

“Pihak kami akan turut mengusahakan bantuan sepatutnya kepada bayi ini di atas bantuan khidmat masyarakat kepada mereka yang tinggal dalam Parlimen Kluang ini khususnya," katanya.

Sinar Harian 5 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment