November 14, 2015

'Anak saya sejak lahir tak mampu bernafas sendiri'


Zarina (kanan) menerima sumbangan lampin pakai buang daripada Mas Imran yang mewakili Econsave.

KLUANG - Nasib seorang bayi, Khalisya Humayra Hellmi, lapan bulan, yang menghidap penyakit dikenali Charge Syndrome sejak dilahirkan mendapat perhatian Pasaraya Econsave Cawangan Kluang dan Umno Bahagian Kluang.

Ibunya, Zarina Md Gofran, 33, berkata, ketika dilahirkan, anak bongsunya itu sukar bernafas sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Menurutnya, sebelum ini anaknya itu ditempatkan selama empat bulan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, kemudian berpindah ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang, selama tiga bulan.

“Anak saya sejak lahir tidak mampu bernafas sendiri dan bergantung harap kepada mesin oksigen.

“Sebelum ini anak saya tidak boleh keluar dari hospital kerana memerlukan mesin oksigen untuk bernafas. Tapi sekarang, Alhamdulillah anak sudah boleh keluar hospital kerana tahap kesihatannya yang semakin baik.

“Anak saya juga dah boleh bernafas sendiri dan pemeriksaan serta pemantauan masih dijalankan di hospital bagi mengetahui keadaannya. Saya berharap anak saya akan sihat seperti bayi seusianya kerana sebelum ini anak saya ini menjalani lima pembedahan bagi memudahkannya bernafas dan minum susu serta makan,” katanya yang tinggal di Taman Seri Impian.

Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Johor, Mas Imran Adam berkata, pihaknya tersentuh dengan keadaan Khalisya Humayra yang menghidap penyakit kronik sejak dilahirkan.

Menurutnya, bagi meringankan beban keluarga berkenaan pihaknya menyalurkan sumbangan lampin pakai buang dan tisu basah untuk kegunaan bayi tersebut.

Turut sama ialah Timbalan Ketua Umno bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin.

Sinar Harian 5 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment