November 11, 2015

Ajal terkena renjatan elektrik

Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian lelaki ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Lelaki ditemui mati selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Padas Tebobon, Menggatal, dekat sini, pagi tadi.

Mayat Mohd Dinor Karim,32, ditemui 10.30 pagi tadi di pondok usang dalam keadaan terbaring sambil tangan kanannya memegang wayar dan kunci.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Kita menerima panggilan pada 10.36 pagi daripada penduduk kampung yang mendakwa mereka menemui seorang lelaki di sebuah pondok yang ada kesan terbakar.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa terbaring di bahagian bawah pondok terbabit sambil memegang wayar dan kunci dalam keadaan tidak bernyawa dipercayai akibat terkena renjatan elektrik," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

myMetro 10 November 2015



0 comments:

Post a Comment