November 11, 2015

Polis cedera dirempuh penunggang mabuk

Anggota polis trafik yang cedera dirempuh penunggang motosikal mabuk. - Foto HAFIDZUL HELMI

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera di tangan dan bahu kiri dirempuh penunggang motosikal dalam operasi bersepadu di Jalan Bangsar menghala pusat bandar malam tadi.

Johan Mohd Mesbah kini dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan keadaannya stabil.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, penunggang lelaki tempatan berusia 20-an itu sudah ditahan dan siasatan mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol.

"Selepas keterangan diambil, dia dibebaskan dengan jaminan polis dan dijangka dituduh di Mahkamah Majistret, Jalan Duta esok," katanya.

Mengulas mengenai operasi sekatan jalan raya bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bermula pukul 9.30 malam dan berakhir tengah malam tadi, beliau berkata 188 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan.

Katanya, ia termasuk 18 saman kesalahan lesen tamat tempoh, tiada lesen (27), tidak menampal pelekat P (28), tidak menampal pelekat L (15) dan 32 nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (32).

Selain itu, Mohd Nadzri berkata, 18 motosikal disita dan 23 waran dikeluarkan.

"Lima penunggang motosikal turut dikesan berada di bawah pengaruh alkohol," katanya. - Bernama

myMetro 10 November 2015



0 comments:

Post a Comment