September 21, 2015

Sempat tinggal pesan jaga mak

Keadaan motosikal mangsa yang tercampak ke dalam longkang di laluan bertentangan di Kilometer 1.5, Jalan Sungai Kelamah-Jelai.

GEMAS - Seorang pekerja kuari maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR 600 yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.5, Jalan Sungai Kelamah-Jelai, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa, Mazlan Muslim, 39, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas selesai bekerja di Gemencheh ke rumah keluarganya di Felda Jelai 4.

Menurut bapa mangsa, Muslim Abdullah, 65, anak keduanya itu sudah tiga hari berulang-alik dari rumahnya di Felda Jelai bagi membantu keluarga dan adik ketiga, Mohd Shahrie Muslim, 23, yang bakal bernikah 25 September ini di Batu Pahat, Johor.

“Sebagai anak lelaki pertama, arwah memang banyak membantu kami dalam urusan pernikahan adiknya.  Malah, pagi sebelum kejadian iaitu sebelum sama-sama keluar bekerja, arwah sempat berpesan kepada adiknya yang bakal berkahwin untuk menjaga mak.

“Arwah pesan pada adiknya untuk lebih kerap berada di rumah.  Malah, tiga hari sebelum kejadian juga, arwah ada bertanyakan keadaan kesihatan saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan masih dijalankan memandangkan hanya motosikal mangsa berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, motosikal mangsa tercampak ke dalam longkang di bahu jalan bertentangan laluan pulang sementara mayatnya pula berada di tengah-tengah jalan juga di laluan bertentangan.

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Asisten Superintendan Genga di talian 06-4411221 atau 06-4411222.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sinar Harian 21 September 2015

0 comments:

Post a Comment