September 21, 2015

Jemaah hilang sah terkorban

ALLAHYARHAM Shahidan (gambar kecil kiri) dan Abdul Habib disahkan terkorban dalam kejadian kren tumbang. FOTO AFP

Makkah: Dua jemaah haji Malaysia yang hilang dalam kejadian kren runtuh pada 11 September lalu disahkan terkorban.

Mereka ialah Allahyarham Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah dan Allahyarham Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada 10 malam (waktu Arab Saudi) iaitu jam 3 pagi tadi pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan kepada Tabung Haji (TH) berhubung penemuan dua lagi mayat.

Menurutnya, pihak perubatan TH bergegas ke rumah mayat Muaissem untuk membuat pengecaman dan pengesahan awal.

“Sejurus selepas itu waris dibawa ke rumah mayat untuk tujuan pengesahan.

“Jenazah disahkan oleh waris dan disokong oleh identifikasi yang masih ada pada jenazah khususnya, gelang, lencana dan barangan peribadi,” katanya pada sidang medianya di ibu pejabat TH di sini, hari ini.

Tumpuan kini katanya, mempercepatkan proses pengurusan jenazah oleh pihak Muassasah dan TH.

Beliau bagi pihak kerajaan Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi di atas kerjasama dan sokongan dalam kerja mencari jemaah haji yang hilang itu.

Pada Jumaat minggu lalu, waris kepada dua jemaah haji yang terkorban sudah dibawa ke rumah mayat berkenaan untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Waris Shahidan, abangnya Sobri dan adik Zulhakimin, manakala Abdul Habib pula diwakili anaknya Mohamad Fazil, 39.

Ujian itu bagi mendapatkan padanan DNA jenazah tidak sempurna yang dikumpulkan dalam tujuh beg plastik.

myMetro 21 September 2015

0 comments:

Post a Comment