September 18, 2015

Buka semula kes kematian anak

IPOH – Ibu kepada seorang lelaki yang didakwa mati akibat membakar diri sendiri kira-kira enam tahun lalu menuntut supaya kes kematian anaknya dibuka semula kerana mengesyaki terdapat beberapa keraguan dalam kes berkenaan.

Azizah Ismail, 48, berkata, dia berbuat demikian kerana ingin menuntut kebenaran kematian anaknya, Shairie Azizi Shaifol Bahri, 21, dalam insiden yang berlaku pada 30 November 2009 itu.

Menurutnya, anak sulungnya dikatakan telah membakar diri ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jelapang bersama tunangnya pada hari kejadian.

“Kira-kira jam 9.15 pagi, saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh tunangnya dan meminta kami untuk datang ke Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Ketika melawat anak saya, kami sekeluarga dimaklumkan dia mengalami kecederaan parah dan terbakar di bahagian perut sehingga paras bahu serta sedikit di bahagian belakang badan.

“Pada ketika itu, dia berada dalam keadaan stabil dan mengalami kebakaran lebih kurang 20 peratus,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Aduan BN Perak, semalam.

Pada 3 Disember Azizah berkata, dia diminta untuk menandatangani surat kebenaran untuk pembedahan plastik anaknya itu.

“Bagaimanapun, anak saya meninggal dunia pada hari yang sama selepas pembedahan itu dijalankan,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Katanya, dia membuat keputusan untuk meminta polis membuka semula kes ini kerana mereka sekeluarga tidak berpuas hati atas dakwaan anaknya itu meninggal dunia akibat membakar diri sendiri.

“Jika betul dia membakar dirinya sendiri, kenapa tiada sebarang kesan kebakaran ditemui di kawasan pasar raya yang dikatakan tempat dia terbakar?

“Malahan, kami juga tidak dapat melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian kerana pihak berkenaan tidak membenarkannya.

“Selain itu, pengawal yang bertugas di pasar raya tersebut yang dikatakan menyaksikan kejadian tersebut didakwa sudah meninggal dunia,” ujarnya yang masih bersedih atas kematian anak sulungnya.

Lebih menyedihkan, Azizah memberitahu kejadian itu berlaku 20 hari sebelum hari perkahwinan anaknya itu.

“Sekiranya benar dia membakar diri sendiri, kenapa seluar, beg, kasutnya masih elok dan tidak mempunyai kesan terbakar.

“Sehubungan itu, saya memohon supaya mana-mana pihak yang pernah melihat insiden itu untuk tampil membantu kami sekeluarga bagi menuntut bela atas kematian anak saya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaian segera supaya keluarga terbabit dapat menuntut bela atas kematian anak mereka.

Sinar Harian 3 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment