September 18, 2015

‘Saya macam dirasuk masuk hutan’

SELINSING - Seorang pemungut siput belitung yang dilaporkan hilang di sekitar kawasan hutan paya bakau di Pulau Kalompang kelmarin, berjaya ditemui nelayan tempatan dalam keadaan lesu, semalam.

Mangsa, Md Nayan Awang, 66, ditemui di pinggiran hutan paya bakau sekitar jam 1.30 petang semalam oleh sekumpulan nelayan yang tiba di pulau itu untuk mencari siput belitung.

Md Nayan sewaktu ditemui berkata, dalam kejadian kelmarin, dia bersama dua rakannya berpecah sewaktu mencari siput belitung di pulau terbabit.

Menurutnya, hasil siput yang dikutip begitu amat luar biasa dan sewaktu dia leka mengutipnya, secara tiba-tiba tangannya dipimpin seseorang terus masuk ke dalam hutan.

“Sewaktu tangan dipimpin, makhluk yang menyerupai orang itu membawa saya ke satu pondok tinggal dipercayai tempat tinggal burung hutan dipenuhi burung  membuat sarang.

“Saya seolah-olah dirasuk dan langsung tidak ingat apa-apa. Puas mencari jalan keluar namun tidak jumpa lalu saya memutuskan untuk bermalam di situ,” katanya.

Md Nayan berkata, apabila hari menjelang siang, dia memutuskan untuk melepaskan kembali kesemua siput belitung yang dipungut bagi memudahkan dia mencari jalan keluar.

Menurutnya, selepas kesemua  hasil pungutan ditinggalkan, seperti berlaku satu keajaiban apabila dia seolah-olah tahu jalan untuk keluar.

“Dengan sedikit tenaga yang ada, saya terus mencari jalan keluar dan akhirnya tiba di satu tebing sungai.

“Setelah hampir sehari  menunggu di situ, mujurlah ada nelayan yang terdengar jeritan saya dan syukur kini saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ropeah Atan, 47, yang menemui Md Nayan berkata, sekitar jam 1.30 petang sewaktu dia bersama anaknya tiba di pulau itu, mereka terdengar suara seseorang menjerit meminta tolong dari dalam hutan berhampiran lokasi menambat sampan.

Menurutnya, mereka segera mencari arah suara terbabit dan ternampak seorang lelaki melambai tangan sambil meminta tolong.

“Saya dan anak segera memimpinnya ke dalam sampan kami dan pulang ke pelantar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang letih dan kelaparan diberikan sedikit makanan, setibanya di pelantar kami segera menyerahkannya kepada polis dan bomba yang berada di bilik gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang dibuka hari ini ( semalam),” katanya kepada media di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Penolong Bomba Kanan (PBK) 1 Hamid Khalid berkata, satu bilik gerakan dibuka pada jam 9 pagi semalam bagi mencari mangsa hilang.

Katanya, sekitar jam 1 petang semalam ketika anggotanya bersedia untuk melancarkan gerakan mencari dibantu beberapa jabatan lain, sebuah bot nelayan tempatan menghampiri bilik gerakan dengan membawa mangsa yang dilaporkan hilang kelmarin.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan serta merta sekitar jam 2 petang sejurus mangsa disahkan selamat,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob sewaktu dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

Antara jabatan yang membantu dalam operasi SAR termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Perikanan, polis serta Polis Marin.

Sinar Harian 1 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment