August 12, 2015

Mengaku tidak salah noda adik ipar

KOTA BHARU - Seorang pekerja kedai tayar mengaku tidak salah ketika dihadapkan atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh berusia 25 tahun itu didakwa melakukan persetubuhan dengan wanita lembam berusia 26 tahun, yang mana hubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang dan hukum agama untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kepang Bukit Bakar, Baka, Machang, pada jam 5 pagi, 28 Mei lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 30 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Susulan penafian tertuduh, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan tuduhan serius yang dihadapi.

Tertuduh yang beralamat di Kuala Besut, Terengganu dan tidak diwakili peguam itu bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan.

Mahkamah membenarkannya dengan jumlah ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September depan.

Sinar Harian 11 Ogos 2015

0 comments:

Post a Comment