July 23, 2015

Kasih ayah sepanjang masa

AHMAD Reza bersama anak-anaknya dalam perjalanan ke Sepang. FOTO Facebook/Abdullah Firdaus Baharuddin

Kuala Lumpur: "Sesiapa sahaja yang mempunyai naluri seorang bapa pasti akan melakukan tindakan sama seperti saya tetapi tidak sangka pula ia mendapat perhatian."

Begitulah kata Ahmad Reza Samsuddin, 38, yang gambarnya menunggang motosikal bersama tiga anak lelakinya berusia antara lima dan tiga tahun menjadi viral di media sosial sejak kira-kira dua minggu lalu.

Gambar Ahmad Reza bersama tiga anaknya, Rafael Haikal, 8, Rafique Danial, 5, dan Danish Bunyameen, 3, yang menaiki Honda EX5 menjadi viral awal Ramadan lalu ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Sepang ke Pulau Pinang.

Menceritakan tindakannya itu, Ahmad Reza yang juga duda, berkata dia sendiri tidak sangka mampu menempuhi perjalanan kira-kira 16 jam dengan jarak 392 kilometer dari rumah keluarganya di Salak Tinggi, Sepang, ke rumah sewanya di Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang.

"Awal Ramadan lalu, saya dan anak kedua, Rafique, yang menetap bersama saya di Pulau Pinang, menaiki motosikal ke Sepang untuk menyambut Ramadan bersama dua lagi anak bersama ibu bapa saya di sana (Sepang) selepas bercerai dua tahun lalu.

"Selepas beberapa hari di Sepang, dua lagi anak tiba-tiba merengek mahu ikut kami pulang ke Pulau Pinang. Ketika itu dalam poket saya cuma ada RM50," katanya.

Menurutnya, dalam keadaan terdesak, dia akhirnya nekad membawa bersama dua anaknya itu dan menyerahkan segalanya-galanya kepada kuasa Allah SWT untuk melindungi perjalanannya empat beranak.

"Kami bertolak selepas sahur dan sepanjang perjalanan, kira-kira 10 kenderaan berhenti melahirkan simpati termasuk ada yang menawarkan untuk menumpangkan tiga anak saya itu.

“Namun, saya menolaknya dengan baik dengan mengatakan ini semua adalah ujian Allah SWT buat saya.

"Mereka akhirnya memberikan duit raya kepada saya dan anak-anak. Alhamdulillah perjalanan kami dipelihara Allah SWT dan kami selamat tiba di Pulau Pinang, kira-kira 10 malam," katanya.

Menurutnya, dia tahu ramai begitu bersimpati sehinggakan ada yang bercadang kumpul duit untuk membeli kereta buat dia sekeluarga.

"Saya bukan tolak rezeki. Tapi, tak perlulah bersusah payah sampai begitu. Bukan niat saya untuk meraih simpati orang ramai dengan cara menunjukkan kesusahan hidup kami empat beranak," katanya.

myMetro 23 Julai 2015



Sayu tak terkata

HAZUMI (kanan) sempat bertembung Ahmad Reza dalam perjalanan menghala ke ibu kota. FOTO ihsan Hazumi Kamaruddin

Kuala Lumpur: "Sayu hati saya melihat keadaan mereka. Apatah lagi, melihat tiga anaknya yang terpaksa berhimpit menaiki motosikal.

"Saya nekad menahannya tidak jauh dari Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Hulu Bernam untuk menghulur sedikit bantuan dan menumpangkan anaknya menaiki kereta saya," kata Hazumi Kamaruddin, 32.

Hazumi adalah antara beberapa individu yang kebetulan bertembung dengan Ahmad Reza Samsuddin, 38, yang gambarnya bermotosikal bersama tiga anak lelakinya berusia antara lima dan tiga tahun menjadi viral di media sosial, sejak kira-kira dua minggu lalu.

Hazumi berkata, ketika ditemui empat sekeluarga itu dalam perjalanan menghala ke ibu negara dan kesempatan itu diambil untuk memberi bantuan bagi meringankan bebannya.

"Kebetulan pada 22 Julai lalu, saya juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas pulang dari Perlis dan tidak menyangka terserempak dengan mereka.

"Tapi, sejak gambar keluarga itu viral, saya juga berjanji sekiranya terserempak dengan mereka, saya akan membantu sedaya upaya dan Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Reza enggan menerima sebarang bantuan kewangan yang mahu diberikan dengan alasan tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Saya memberitahunya wang itu sebagai duit raya dan saya ikhlas untuk membantu. Tapi, dia tetap juga menolak. Begitu juga pelawaan saya untuk menumpangkan anaknya.

"Kami sempat bertukar nombor telefon. Selepas pertemuan itu, saya juga ada menghubunginya untuk bertanya khabar. Saya tetap bercadang memberikannya bantuan dalam masa terdekat," katanya.

Gambar Ahmad Reza bersama tiga anaknya, Rafael Haikal, 8, Rafique Danial, 5, dan Danish Bunyameen, 3, yang menaiki Honda EX5 menjadi viral, awal Ramadan lalu, ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Sepang ke Pulau Pinang.

myMetro 23 Julai 2015


Alhamdulillah...rakyat Malaysia memang prihatin

Sepang: Pengorbanannya membawa tiga anak menggunakan motosikal dari Sepang ke Pulau Pinang mungkin tidak mampu dilakukan orang lain.

Ternyata, nasib Ahmad Reza Samsuddin, 38, mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia yang terbukti prihatin.

Bermula daripada gambarnya menjadi ‘viral’, sehinggalah kepada ramai yang simpati, mekanik jalanan itu menerima kereta Proton Iswara yang diberi seorang peniaga, petang tadi.

Bagi Ahmad Reza, dia perlu meneruskan hidup dan pada masa sama amat berterima kasih kepada keprihatinan rakyat Malaysia.

myMetro 24 Julai 2015


‘Terima kasih rakyat Malaysia’

Ahmad Reza bersalaman dengan peniaga (topi merah) yang memberinya kereta.

Sepang: "Saya menganggap kereta ini sebagai pinjaman dan berjanji kepada pemiliknya akan menggunakannya sebaik mungkin.

“Jika saya temui insan lain yang lebih susah, mungkin ketika itu tiba pula giliran saya menyerahkan kereta ini kepadanya," kata Ahmad Reza Samsuddin, 38.

Bapa tiga anak itu ditemui Harian Metro selepas wartawan mengaturkan pertemuan dengan seorang peniaga yang menyumbang kereta Proton Iswara selepas tersentuh dengan kisah kepayahan hidup Ahmad Reza yang tersebar di laman sosial baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, wartawan dan peniaga yang enggan dikenali terpaksa mengambil masa selama hampir dua jam untuk memujuk Ahmad Reza supaya menerima kereta terbabit.

Nasib keluarga Ahmad Reza mula mendapat perhatian seluruh masyarakat negara ini apabila gambar dia menunggang motosikal bersama tiga anak lelakinya berusia tiga hingga lapan tahun dari Sepang ke Pulau Pinang menjadi ‘viral’ di laman sosial dua minggu lalu.

"Saya sama sekali tidak menyangka ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang begitu prihatin terhadap nasib kami sehingga sanggup 'meminjamkan' saya kereta demi keselamatan anak-anak.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kami empat beranak dan saya harap saya tidak dipandang serong kerana bukanlah niat saya untuk mendapat perhatian sehingga ke tahap ini," katanya.

myMetro 24 Julai 2015


'Saya akan risik keluarga lebih susah'


AHMAD Reza bersama anak-anak di bengkel motor tempat kerjanya.


Kuala Lumpur: “Saya ‘takut’ untuk pakai kereta ini lama-lama sebab sentiasa teringat janji kepada pemilik Proton Iswara ini yang saya hanya meminjam dan akan memberikannya kepada orang yang lebih susah daripada saya apabila tiba waktunya.

“Sebab itu selalunya sambil bekerja, saya akan ‘merisik’ jika ada keluarga orang susah yang mungkin layak mendapatkan kereta ini sebagaimana saya menerimanya dahulu,” kata Ahmad Reza Samsuddin, 38 yang kisah keluarganya mendapat perhatian seluruh masyarakat negara ini Julai lalu apabila gambarnya menunggang motosikal sambil membonceng tiga anak lelakinya menjadi viral di media sosial.

Dia yang menetap di Pulau Pinang ketika dihubungi Harian Metro semalam berkata, dia masih menggunakan kereta Proton Iswara berkenaan untuk membawa ketiga-tiga anaknya, Rafael Haikal, 8; Rafique Danial, 5, dan Danish Bunyameen, 3, mengikutnya bekerja sebagai mekanik jalanan.

“Sejak menerima kereta ini Julai lalu, November lalu adalah kali pertama saya membawanya pulang ke Pulau Pinang itu pun disebabkan mahu meluangkan masa bersama anak-anak sempena cuti sekolah.

“Di Pulau Pinang, saya bawa mereka ikut mencari rezeki dari tengah hari sehinggalah tengah malam sambil but dipenuhi dengan peralatan untuk membaiki motosikal pelanggan,” katanya semalam.

Menurutnya, walaupun agak sukar kerana terpaksa membawa anak-anak sama bekerja, dia tidak mempunyai pilihan kerana mereka gembira mengikutnya bekerja walaupun hanya sekadar mengelilingi pulau mutiara itu.

“Lagipun, pengalaman lalu juga menjadikan saya serik untuk membonceng anak-anak menaiki motosikal lagi kerana takut orang ambil gambar dan jadikan viral lagi sedangkan sudah diberikan kereta.

“Namun saya bersyukur kerana walaupun memerlukan kos yang lebih tinggi menggunakan kereta untuk mencari rezeki berbanding motosikal sebelum ini, pendapatan tidak pernah terputus,” katanya.

Gambar Ahmad Reza yang juga seorang duda bersama tiga anaknya yang membonceng motosikal jenis Honda EX5 menjadi viral Julai lalu ketika mereka dalam perjalanan dari rumah ibu bapa Ahmad Reza di Salak Tinggi, Sepang ke rumah sewanya di Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang sejauh hampir 400 kilometer.

myMetro 29 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment