June 28, 2015

Rumah masuk sungai

Rumah dalam pembinaan yang hampir siap runtuh dan menggelongsor ke dalam sungai di Kampung Mesilau, Kundasang, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca

Ranau: Susulan banjir lumpur sejak Isnin lalu menyebabkan sebuah rumah dalam pembinaan yang hampir siap runtuh dan menggelongsor ke dalam sungai di Kampung Mesilau, Kundasang, pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba Ranau berkata, ketika kejadian tiada sesiapa di rumah itu.

"Bomba menerima laporan daripada pemilik rumah pada 9 pagi tadi sebelum sepasukan anggota bomba ke tempat kejadian untuk pemantauan.

"Pemeriksaan mendapati sebuah rumah runtuh dan menggelongsor ke dalam sungai di Kampung Mesilau," katanya.

Sementara itu, lebih 900 penduduk daripada 189 keluarga dipindahkan di tiga pusat pemindahan sementara di Dewan Mini Kundasang, Dewan Masyarakat Ranau dan Dewan Sementara Marakau setakat 1 petang tadi, ekoran banjir lumpur Isnin lalu.

Mereka dipindahkan secara berperingkat-peringkat sejak Isnin lalu sehingga malam tadi.

myMetro 17 Jun 2015


Gegaran anak sungai Mesilou

LIMPAHAN air lumpur yang mengalir bersama bongkah batu membentuk lurah yang dalam di anak sungai Mesilou. FOTO Mohd Razlan Salleh

Ranau: Kira-kira 200 penduduk di Kampung Mesilou Kundasang, di sini, gempar seketika apabila dikejutkan dengan limpahan air lumpur dari Gunung Kinabalu bersama bongkah batu besar dan cebisan pokok yang patah di anak sungai Mesilou, petang tadi.

Kejadian kira-kira 2 petang itu menyebabkan kawasan sekitarnya turut bergegar.

Menurut seorang penduduk, Juhimin Kungkilou, 64, kejadian itu disedari sebaik terdengar bunyi dentuman kuat yang datang dari arah anak sungai Mesilou.

"Rumah saya hanya terletak kira-kira 50 meter dari anak sungai dan terdengar bunyi dentuman kuat.

"Sebaik terdengar bunyi dentuman, saya bergegas keluar untuk meninjau apa yang berlaku," katanya ketika ditemui.

Menurut Juhimin, sebaik meninjau di anak sungai itu, dia melihat limpahan air lumpur yang mengalir deras.

"Air lumpur ini turut membawa bersama puluhan bongkah batu besar sehingga ke hilir sungai.

"Ini adalah kejadian pertama berlaku di kampung ini dan sangat menggerunkan," katanya.

Juhimin berkata, anak sungai itu yang dulunya bersaiz kecil kini bertukar wajah menjadi lurah laluan air yang besar.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Asmat, 34, meminta pihak berkuasa supaya melakukan tindakan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Kami bimbang sekiranya limpahan banjir lumpur ini menyebabkan beberapa kawasan bukit berhampiran anak sungai runtuh.

"Sekiranya bukit ini runtuh, anak sungai akan tertimbus manakala arus air yang mengalir dari gunung akan terpesong ke arah rumah penduduk," katanya.

myMetro 16 Jun 2015


Jambatan utama terputus hubungan

HUJAN lebat menyebabkan berlaku banjir lumpur sehingga jambatan utama bagi kenderaan terputus hubungan.

Ranau: Hujan lebat sejak tengah hari tadi menyebabkan berlaku banjir lumpur sehingga jambatan utama bagi kenderaan ke Pusat Dakwah Islam Kundasang terputus hubungan dalam kejadian di Kampung Mesilau, Kundasang, di sini, 3 petang tadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan sepasukan anggota bomba dikerah di lokasi kejadian untuk kerja-kerja pemantuan dan bantuan memindahkan penduduk ke kawasan selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.13 petang dan sepasukan anggota bomba tiba 25 minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku banjir lumpur di Sungai Mesilau, menyebabkan jambatan utama bagi kenderaan ke Pusat Dakwah Islam Kundasang, di sini, terputus hubungan.

"Selain itu, keadaan air sungai yang deras dan berlumpur menyukarkan pasukan bomba menyeberangi sungai namun kerja-kerja pemantuan dan membantu memindahkan penduduk kampung ke kawasan selamat sedang dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, Affendy berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

myMetro 15 Jun 2015



0 comments:

Post a Comment