June 28, 2015

Maut dipukul adik, saudara sendiri

DI tepi jalan berdekatan sebuah pasar di Jelutong, George Town inilah Eng Bee (gambar kecil) dipukul hingga mati oleh adik dan saudaranya sendiri malam kelmarin.

GEORGE TOWN – Malang nasib seorang lelaki warga emas apabila maut setelah hampir 12 jam bertarung nyawa dipercayai akibat dipukul adik kandungnya sendiri dan anak saudara mereka di tepi jalan berdekatan sebuah pasar di Jelutong di sini malam kelmarin.

Mangsa, Ooi Eng Bee, 67, di­sahkan mati kira-kira pukul 7.45 pagi semalam semasa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat mengalami pendarahan otak selain terdapat kesan calar pada tangan, kaki dan muka.

Difahamkan, kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin dan polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut daripada isteri mangsa di HPP.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan laporan kejadian itu polis telah menahan empat lelaki terdiri daripada seorang adik mang­sa berusia 63 tahun dan tiga saudara mereka termasuk seorang wanita yang masing-masing berusia 32, 33 dan 58 tahun.

Kosmo 19 Jun 2015


Adik ambil nyawa abang

Georgetown: Hanya kerana cahaya lampu telefon bimbit, dua beradik bergaduh sebelum si abang ditumbuk bertubi-tubi oleh si adik hingga akhirnya menemui ajal ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.

Kejadian tragis itu bermula jam 8 malam kelmarin di rumah mangsa, Ooi Eng Bee, 67, yang berehat di ruang tamu sebelum terlihat cahaya lampu di luar rumahnya di Jelutong.

Difahamkan, ketika itu, anak saudara mangsa berusia 33 tahun melalui kawasan rumahnya, namun kerana gelap dia terpaksa menggunakan lampu telefon bimbit untuk menyuluh jalan.

Mangsa menegur perbuatan itu sebelum adik lelakinya berusia 63 tahun campur tangan hingga berlaku pertengkaran.

Pertengkaran itu kemudian bertukar menjadi panas apabila mangsa mengambil besi pencangkuk karung guni dan mahu menyerang adik serta anak saudaranya hingga membuatkan dua beranak terbabit terpaksa bertindak balas mempertahankan diri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua lagi lelaki yang juga ahli keluarga mereka turut masuk campur sebelum adik mangsa kemudian menumbuk muka abangnya beberapa kali hingga terpaksa dikejarkan ke HPP.

“Selepas hampir 12 jam dimasukkan ke hospital, mangsa akhirnya menghembuskan nafas terakhir jam 7.45 pagi tadi (semalam) akibat pendarahan otak dan hasil bedah siasat mendapati ada kesan calar di kaki serta lebam di muka.

“Susulan itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 32 dan 63 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain merampas tiga kayu panjang dan sebatang besi pencangkuk dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya.

“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut dan semua suspek direman tujuh hari hingga 24 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.

myMetro 19 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment