June 28, 2015

Saksi terkejut lihat kemalangan

Kluang: Warga emas terbunuh selepas keretanya bertembung dengan lori pasir di Kilometer 68, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Simpang Renggam di sini, 2.30 petang ini.

Md Nor Mamat, 78, yang memandu bersendirian dipercayai dari Simpang Renggam ke Kulai dan meniggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang beralamat di Perumahan Felcra Lembah Kesang, Merlimau, Melaka, dipercayai hilang kawalan selepas gagal memotong kenderaan lain.

Menurut sumber, lori 10 tan dipandu lelaki berusia awal 30-an dari arah Johor Bahru cuba memperlahankan kenderaannya selepas menyedari kereta dipandu mangsa berada di laluannya sebelum hilang kawalan.

“Pemandu lori terbabit difahamkan cuba mengelak namun gagal sehingga berlaku rempuhan kuat antara kedua-dua kenderaan itu," katanya.

Pengguna jalan raya yang tiba awal di tempat kejadian, Sukri Razali, 40-an, mendakwa dia terkejut selepas melihat sebuah lori melintang separuh jalan sebelum melihat kereta remuk di dalam parit kecil.

"Saya berhenti seketika sebelum melihat terdapat sebuah kereta remuk teruk yang mana di dalamnya terdapat seorang lelaki tersepit dan parah di kepala sebelum terus menghubungi pasukan penyelamat," katanya di sini, semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Ishak Ibrahim berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 2.37 petang dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengenai kejadian itu.

"Enam pegawai dan anggota bomba tiba di tempat kejadian bersama sebuah jentera mendapati sebuah kereta remuk selepas bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalthom, Kluang untuk bedah siasat.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 13 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment