June 28, 2015

Bunuh angkara kongsi gelap

Nilai: Polis percaya pembunuhan ke atas seorang pemilik kedai kosmetik di sebuah restoran di Bandar Baru Nilai, di sini, pada Jumaat lalu, kemungkinan besar bersabit dengan kongsi gelap dan masalah perniagaan.

Ketua Polis negeri Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sudah lama menyimpan dendam sebelum menembak mangsa yang berusia 34 tahun itu.

Katanya, dalam kejadian jam 11.10 malam Jumaat lalu, mangsa baru selesai menghadiri majlis makan malam di sebuah restoran sebelum ditembak dari jarak dua meter oleh seorang daripada dua suspek.

Menurutnya, kejadian berlaku di kawasan parkir restoran berkenaan dan suspek melepaskan empat das tembakan dengan tiga daripadanya mengenai kepala, dada dan lengan mangsa.

“Sejurus ditembak, mangsa yang pada awalnya masih sedarkan diri, namun meninggal dunia ketika rakannya membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban,” katanya selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Tugas Ketua Polis Daerah Nilai di Hotel Aston, di sini, semalam.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zaldino Zaludin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Nilai, menggantikan Superintendan Abdullah Roning, yang ditukarkan ke Kelantan sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Krai berkuat kuasa hari ini.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, siasatan turut mendapati motif pembunuhan disebabkan masalah perniagaan dan juga pelaburan di Laos.

“Buat masa ini, kami (polis) sedang menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Semakan dibuat turut mendapati mangsa ahli sebuah kongsi gelap dan memiliki perniagaan kosmetik di Serdang, Selangor,” katanya yang memaklumkan setakat ini suspek belum ditahan.

myMetro 16 Jun 2015


Terkulai 4 das

Nilai: Seorang ahli perniagaan barangan kosmetik maut terkena empat das tembakan dilepaskan seorang lelaki ketika mangsa berbual dengan rakannya di tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Nilai di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 34 tahun ditembak di bahagian dada dan perut oleh suspek yang memandu sebuah kereta mewah jenis Audi dari jarak kira-kira empat meter.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya berusia 50-an itu menghadiri jamuan makan malam yang diadakan di restoran berkenaan pada jam 7 malam dan ke tempat letak kereta untuk pulang ke rumahnya di Selangor sebaik majlis tamat.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa sedang berbual bersama rakannya sebelum sebuah kereta menghampiri mereka dan pemandunya secara tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek dikatakan melepaskan empat das tembakan mengenai badan mangsa sebelum melarikan diri. Rakan mangsa melihat mangsa rebah dan masih sedarkan diri lalu segera membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital ketika dalam perjalanan. Mayat mangsa kemudian diserahkan ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat kejadian ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan termasuk merakam percakapan rakan mangsa itu bagi mengesan suspek.

Katanya, pihaknya juga akan mengesan beberapa saksi lain yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Semakan awal mendapati, mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan jenayah kekerasan dan dadah. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mangsa dan suspek terbabit kumpulan kongsi gelap, Abdullah berkata, masih terlalu awal untuk memastikan perkara itu kerana siasatan lengkap dan tangkapan perlu dilakukan terlebih dulu.

myMetro 15 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment