June 28, 2015

Mati demi keluarga

Ipoh : Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa apabila terkena renjatan elektrik demi menyelamatkan isteri, anak serta ibunya daripada terkena arus elektrik yang mengalir pada alat pemanas air mandian digunakan keluarga berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam di rumah mereka di Dataran Rapat Baru di sini, mangsa Kok Chee Kian, 40, dipercayai cuba mencabut satu daripada suis pada alat berkenaan selepas isteri, anak serta ibunya terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas itu.

Adik mangsa Kok Chee Yong, 34, berkata, dia yang tiada di rumah dihubungi kakak iparnya memaklumkan abangnya meninggal dunia terkena renjatan elektrik daripada suis dicabutnya.

Menurutnya, kejadian dipercayai akibat litar pintas disebabkan kilat menyebabkan bekalan elektrik di rumah itu terputus dan kejadian itu menyebabkan anak mendiang berusia dua tahun yang ketakutan menangis hingga termuntah.

“Selepas membuka semula fius utama, bekalan elektrik ada kembali dan kakak ipar membawa anaknya untuk dimandikan akibat bajunya basah terkena muntah. Sebaik cuba membuka air, kakak ipar serta anaknya menjerit akibat terkena renjatan.

“Ibu yang datang menolong gagal berbuat apa-apa sebelum abang saya datang dan cuba menarik satu suis pada alat berkenaan menyebabkan dia terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia,” katanya yang ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro 13 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment