May 23, 2015

Wujud tabung khas bantu Nur Fatin Amira


Nur Fatin Amira Rusmin (kanan) melawat Nur Fatin Amira dan menyampaikan sumbangan bagi membantu keluarga itu.

KUALA NERANG - Penderitaan Nur Fatin Amira Fawzi, 9, dari Kampung Baru, Mukim Tualak, dekat sini yang terlantar selepas menjalani pembedahan di kepala terus mendapat simpati Sinar Harian dan Pertubuhan Amal Seiring Bersama Utara (MMD), baru-baru ini.

Pengurus Kanan Operasi Utara, Rusmin Fadzil berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan kesihatan Nur Fatin Amira.

Menurutnya, pihaknya mewujudkan Tabung Huluran Kasih Amira bagi membantu keluarganya membiayai perbelanjaan harian untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang.

“Oleh kerana bapanya seorang buruh, kami cuba membantu dengan menyampaikan barangan seperti lampin pakai buang dan susu bernilai RM1,400 kepada keluarga itu supaya dapat meringankan perbelanjaan mereka,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Siti Mashitah Harun, 30, berkata, keluarganya berterima kasih dengan pihak berkenaan yang sanggup menghulurkan sumbangan dan mewujudkan tabung khas untuk anaknya itu.

Menurutnya, kini anaknya itu semakin pulih apabila mulai bergerak dan tersenyum sekiranya mendengar mereka bercakap.

“Anak saya kini memerlukan kerusi roda khas berharga RM3,750 kerana tulang belakangnya semakin bengkok dan tidak mampu lagi untuk duduk di dalam kerusi yang dinaikinya selama itu.

“Bagaimanapun kini kami hanya memerlukan RM350 apabila Tabung Bantuan Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akan membiayainya sebanyak RM3,400. Keadaan anak saya kini semakin sembuh kerana hanya menghadapi sawan sekali atau dua kali sahaja berbanding dahulu hingga 10 kali lebih,” katanya.

Nur Fatin Amira sebelum ini lumpuh dan terlantar di rumah selepas menjalani pembedahan di hospital apabila kepalanya cedera terjatuh di sekolah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan di akaun RHB bernombor 25203700008350 atas nama Tabung Pertubuhan Amal Seiring Bersama.

Sinar Harian 23 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment