May 26, 2015

Dipukul enggan buka karaoke malam Jumaat

Kuala Terengganu: Seorang remaja lelaki cedera dibelasah tiga lelaki selepas enggan membuka pusat karaoke dalam kejadian di Bukit Keluang, Besut, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 11.50 malam, mangsa yang berusia 17 tahun menanggung kesakitan akibat disepak, ditumbuk dan dipijak kepala, tetapi turut dimaki hamun dengan pelbagai kata-kata kesat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berada di hadapan premis itu didatangi tiga lelaki dan seorang daripadanya dikenalinya.

Menurutnya, suspek yang dikenalinya mengarahkan mangsa membuka premis terbabit, tetapi remaja itu memaklumkan majikannya mengarahkan tiada urus niaga setiap malam Jumaat.

“Keengganan mangsa menyebabkan suspek naik angin sebelum seorang daripadanya bertindak ganas dengan menyepak dan menumbuk mangsa.

“Suspek turut mengarahkan remaja itu meniarap di atas jalan raya sambil memarahi mangsa termasuk mengeluarkan kata-kata ‘aku benci keturunanmu’ dan memberi mangsa tempoh lima minit melarikan diri,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, semua suspek turut mengugut membelasah mangsa sekiranya gagal melarikan diri dalam tempoh masa diberikan menyebabkan mangsa segera beredar dalam keadaan kesakitan.

Menurutnya, mangsa kemudian menuju ke sebuah insititusi perguruan yang terletak berhampiran bagi mendapatkan bantuan.

“Pengawal keselamatan yang melihat keadaan mangsa segera menghubungi ahli keluarganya sebelum dia dibawa ke Hospital Jerteh untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati tiga suspek bertindak membelasah mangsa kerana bengang selepas mangsa tidak mahu membuka pusat karaoke seperti yang diarahkan,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati dendam lama membabitkan keluarga seorang suspek itu dengan mangsa.

myMetro 26 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment