May 20, 2015

Budak maut terperangkap dalam kebakaran

FOTO Amran Yahya

Kuala Pilah: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut apabila terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Air Mawang dekat sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.05 pagi itu, Mohamad Daniel Hakim, berada dalam sebuah daripada tujuh bilik di rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Pegawai Bomba Kanan 1 Lias Amat, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 10.13 pagi.

Katanya, pasukannya seramai enam anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 10.26 pagi dan mendapati sebuah rumah terbakar yang kemudian berjaya dikawal.

"Tidak lama kemudian, seorang wanita tiba di tempat kejadian dan memberitahu anaknya berada dalam rumah itu," katanya.

Lias berkata, anggota bomba yang memasuki rumah itu kemudian menemui mangsa yang rentung dalam sebuah bilik rumah itu.

Katanya, hanya mangsa berada dalam rumah itu dan pihaknya kini sedang menyiasat punca kejadian.

myMetro 19 Mei 2015


Tak tahu ada budak

Kuala Pilah: “Ya Allah...mana anak aku.” Itu antara jeritan seorang wanita sebaik melihat api menjulang membakar rumahnya di simpang tiga Kampung Air Mawang, di sini, semalam.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 10 pagi itu mengorbankan seorang kanak-kanak, Mohd Daniel Mohd Ismail, 10, dan mayatnya ditemui rentung di luar pintu bilik tidur berhampiran tangga rumah setingkat itu.

Ketika kejadian, mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Nuri, Johol, dipercayai tidur berseorangan selepas ibunya, Rusni Maarom, 43, bersama adik bongsunya yang berusia lima tahun keluar menghantar kuih di SK Tunku Besar Tampin.

Difahamkan, mangsa tidak ke sekolah kerana masih bercuti sakit akibat patah tangan selepas terjatuh dari pokok rambutan.

Ibu saudara mangsa, Rodiah Maarum, 53, berkata, anaknya, Amirul Husna Husaini Bidin, 26, terlebih dulu melihat api menjulang dari dapur rumah didiami keluarga malang terbabit.

myMetro 20 Mei 2015


Budak rentung dalam kebakaran

Polis mengangkat mayat Mohd Daniel yang ditemui rentung.

KUALA PILAH - Jika Rabu lalu, dia terjatuh dari pokok rambutan di hadapan rumahnya sehingga menyebabkan tangannya patah, namun semalam sekali lagi kejadian malang menimpanya sehingga meragut nyawa.

Mohd Daniel Ismail, 10, ditemui rentung selepas terperangkap dalam rumah yang terbakar di Kampung Air Mawang, di sini, kira-kira 10 pagi semalam.

Ketika kejadian, Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nuri, Johol itu dipercayai masih lena selepas ditinggalkan sendirian dalam rumah keluarganya itu kerana masih dalam cuti sakit.

Ibunya, Rusni Maarum, 43, sudah keluar awal pagi bersama adik bongsunya untuk menghantar kuih ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin, Tampin.

Manakala bapanya, Mohd Ismail Hamid, 45, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Serting menetap di rumah keluarganya di Pasoh 3, Jempol disebabkan faktor jarak.
Sementara nenek mereka, Rokayah Mulub, 80, juga sudah keluar rumah sejak awal pagi lagi.

Difahamkan,  Rusni bersama tujuh dari sembilan anaknya tinggal di rumah berkenaan.

Tak tahu mangsa berada  dalam rumah

Menceritakan kejadian, kakak Rusni, Rodiah Maarum, 53, yang tinggal bersebelahan rumah berkata, dia menyedari insiden malang itu sebaik dimaklumkan anaknya yang melihat api dari arah dapur rumah mangsa.

Menurutnya, api marak dengan begitu cepat dan dalam beberapa minit sahaja keseluruhan rumah terbakar.

"Memang nampak dengan jelas api marak.  Saya terus keluar dan nampak asap dari ruang dapur dan terus telefon bomba.

“Masa itu saya langsung tak tahu Daniel ada dalam rumah itu. Hati saya kuat mengatakan dia dengan emaknya ibunya pergi ke bandar Tampin," katanya.

Rodiah berkata, dia hanya mengetahui Mohd Daniel berada dalam rumah selepas Rusni mula bertanyakan keadaan anaknya itu.

“Kami semua terkejut termasuk anggota bomba kerana tidak dimaklumkan ada mangsa di dalam rumah. Lagipun waktu kejadian, tiada sesiapa di rumah itu.

"Selepas diberitahu Daniel ada dalam rumah, bomba mencari dan menjumpainya sudah meninggal dalam keadaaan rentung," katanya yang sebak.

Difahamkan, mangsa ditemui di luar pintu bilik tidurnya berhampiran tangga rumah setingkat itu.

Sementara itu, Ismail berkata, dia menerima berita mengenai anaknya itu daripada isterinya kira-kira 11.30 pagi.

“Selepas dapat tahu, saya terus balik ke sini. Memang tidak tahu apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu, seminggu lalu.

“Saya membawa dia ke klinik selepas patah tangan akibat terjatuh dari pokok. Itulah kali terakhir saya berjumpa arwah dan arwah tiada menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik.

“Walaupun arwah pergi dalam keadaan tragis, saya reda dengan pemergiannya kerana ALLAH SWT lebih sayangkan dia. Arwah seorang anak yang baik dan mendengar kata,” katanya di temui di tempat kejadian, semalam.

Kerja pemadaman api sukar

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Johari Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Anggota Bomba dan Penyelamat Tampin tiba dulu di lokasi kejadian diikuti anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah melibatkan 11 anggota.

"Kedudukan rumah agak pedalaman menyukarkan sedikit kerja-kerja pemadaman api termasuk tiada pili bomba di kampung ini menyebabkan anggota perlu berulang alik ke kawasan lain untuk mendapatkan bekalan air," katanya.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa melakukan fire break untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.

Johari berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat terdapat seorang kanak-kanak berada di dalam rumah berkenaan.

"Kira-kira 11 pagi, ibu mangsa pulang dan memberitahu seorang anaknya masih berada dalam rumah. Ketika diberitahu, api sudah berjaya dipadamkan dan anggota bomba masuk ke dalam rumah dan berjaya menemui mayat mangsa di luar pintu biliknya berhampiran tangga dapur.

Menurut Johari, kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan anggota bomba turut menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) bagi mencari punca kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasat.

Sinar Harian 20 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment