May 20, 2015

Lelaki maut dipukul rakan

SIMPANG PULAI - Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas terlibat dalam satu pergaduhan bersama dua rakannya di sebuah restoran di Persiaran Pulai Baru 1, di sini, lewat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 43 tahun ditemui mati dalam keadaan terbaring di kaki lima restoran terbabit selepas rakannya melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, anggota cawangan pencegahan jenayah balai polis simpang pulai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada pemilik restoran terbabit.

Menurutnya, ambulan yang tiba ditempat kejadian mengesahkan mangsa telah maut akibat kecederaan parah di kepala.

"Siasatan awal mendapati mangsa sedang minum bersama rakannya tiba-tiba bergaduh menyebabkan semua pelanggan panik dan menghubungi polis.

"Tiba ditempat kejadian dapati mangsa telah maut. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan akibat diketuk dengan benda keras di kepala," katanya.

Anuar berkata, setakat ini, polis masih belum membuat sebarang tangkapan dan tiada sebarang senjata ditemui ditempat kejadian.

"Kita akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan mangsa terlibat dalam pertengkaran dengan dua rakannya itu sebelum dibunuh.

"Kita turut menahan pemilik restoran ini untuk siasatan lanjut berhubung dengan kejadian itu," katanya.

Sehubungan itu, polis memin­ta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu terutama pelanggan restoran supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sinar Harian 19 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment